LTdL26: Izzat buru podium sulung di Kampar

26 Sep 2026 • 5:06 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: LTdL26: Izzat buru podium sulung di Kampar

SHAH ALAM – Pelumba Malaysia Pro Cycling (MPC), Mohamad Izzat Hilmi Abdul Halil memasang misi besar untuk menamatkan penantian mendakap podium sulung kariernya pada Peringkat 1 Le Tour de Langkawi 2026 (LTdL26) yang membuka tirai secara rasmi esok.

Pelumba kelahiran Batu Pahat, Johor itu menyifatkan laluan sejauh 193.0 kilometer (km) dari Persiaran Gerbang Utama Bukit Jelutong ke Kampar sebagai medan terbaik untuk memburu keputusan positif menerusi penamat beramai-ramai.

Pada edisi 2025, Izzat mencipta kejutan apabila merangkul gelaran pelumba terbaik ASEAN pada saingan peringkat keenam.

Oleh itu, Izzat mengakui peluang bersaing dalam kelompok hadapan perlu dimanfaatkan sepenuhnya memandangkan dia masih belum pernah menaiki podium tiga terbaik sepanjang penampilannya di perlumbaan berprestij itu.

“Sebelum ini saya pernah meraih gelaran pelumba terbaik ASEAN, cuma rezeki untuk menaiki podium peringkat masih belum kesampaian. Jadi, saya akan berusaha sebaik mungkin dan memanfaatkan setiap peluang yang terhidang.

“Jika ada rakan sepasukan yang mampu membantu membawa saya berada pada kedudukan terbaik di kelompok hadapan, saya akan cuba memerah keringat selebihnya untuk
memecut ke garisan penamat,” katanya pada sidang media LTdL 2026 hari ini.

Mengulas mengenai percaturan taktikal pada Peringkat 1 esok, Izzat mendedahkan kesediaannya untuk mengambil kesempatan ke atas barisan pelumba antarabangsa yang berkemungkinan masih berdepan keletihan.

“Mungkin ada pelumba luar negara yang masih dalam proses menyesuaikan diri dengan zon masa dan cuaca di sini. Saya akan cuba mengambil kelebihan daripada situasi itu untuk mencabar kelompok depan,” jelasnya lagi.

Bagaimanapun, Izzat sedar cabaran LTdL26 kali ini lebih getir, khususnya buat pelumba pecut apabila laluan perlumbaan menyajikan tiga pendakian di Gunung Jerai, Cameron Highlands dan Genting Highlands. -KOSMO! ONLINE

The post LTdL26: Izzat buru podium sulung di Kampar appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved