![Image from: LRT Laluan Kelana Jaya Sekali Lagi Alami Gangguan, Ramai Tersangkut Nak Ke Tempat Kerja [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/05/FI-split-white-5-800x467.jpg)
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sekarang ni, hampir setiap minggu akan berlakunya ‘drama’ gangguan yang tidak berkesudahan melibatkan pengangkutan awam LRT (Transit Aliran Ringan), MRT (Transit Aliran Deras) dan juga Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
Baca Artikel Berkaitan: “Tolong Fikir Nasib Pengguna” – Ramai Penumpang Tak Setuju Susunan Jadual Baru KTMB
Apa yang membuatkan ramai geram adalah gangguan teknikal ini kebiasaannya berlaku semasa waktu puncak (peak hours) sehingga menjejaskan urusan orang ramai untuk pergi ke tempat kerja, sekolah dan sebagainya.
Malangnya, gangguan sama masih berlaku pada hari ini (18 Mei) di laluan LRT Kelana Jaya menyebabkan ramai pengguna tersangkut.
LRT Kelana Jaya Masih Alami Gangguan Hingga Ke Hari Ini
Menerusi tinjauan kami di laman Threads, ramai pengguna LRT meluahkan stres selain mengeluh dengan masalah gangguan pengangkutan kereta api yang masih berlaku.
Menurut pengguna LRT dikenali sebagai Aisha, perkhidmatan tren mula tergendala seawal 6 pagi. Tambahnya, sistem pengangkutan awam di Malaysia sekarang sangat lemah.
“Lepas tu menteri cakap kita tak cukup naik pengangkutan awam,” katanya.
View on Threads
Menerusi satu video tular, kelihatan pengguna LRT berhimpit dan beratur panjang di sebuah stesen laluan LRT Kelana Jaya.
View on Threads
Penat Sangat Hadap Masalah LRT Sampai Hanya Mampu Beri Sindiran
Mungkin sudah lali dan terbiasa dengan masalah sama, seorang lelaki turut menyindir selepas melihat banjiran pengguna yang bersesak di landasan kereta api Ara Damansara.
“Wah, baguslah macam ni. Saya suka ,” katanya dengan nada menyindir.
View on Threads
Ramai Pengguna LRT Lambat Ke Tempat Kerja, Ada Yang Sampai Ditegur Bos
Waktu menunggu yang lebih lama itu juga telah menyebabkan anggaran ribuan pengguna terlewat ke pejabat sehingga merosakkan reputasi kerja kerana alasan yang sama, “Tren rosak”.
“Hari ni saya sedih betul sebab terpaksa masuk meeting ‘on the go’. Bos saya kata saya tak serius. Terima kasih sebab reputasi saya memburuk sebab selalu lambat sampai. Alasan sama, gangguan tren.
“Saya bangun 5.30 pagi, rumah saya dekat Cheras je. Saya letih, saya nak meluah je. Janji tak marah Rapid KL, sebab esok saya naik tren juga.
“Cekodok macam saya tak mampu memandu pergi pejabat. Parking mahal. (Subsidi) BUDI95 kena potong. Selesai mengeluh,” luah seorang wanita.
![Image from: LRT Laluan Kelana Jaya Sekali Lagi Alami Gangguan, Ramai Tersangkut Nak Ke Tempat Kerja [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/05/lrt-lambat.jpeg)
Kenapa LRT Laluan Kelana Jaya Je Selalu Bermasalah? – Pengguna Tren
Sementara itu, seorang pengguna Threads dikenali sebagai Emeirfaizal turut mempersoalkan mengapa laluan tren Kelana Jaya sahaja yang selalu mengalami gangguan dan bukannya laluan yang lain.
“Kenapa laluan LRT Kelana Jaya je yang selalu rosak dan ada masalah eh? Laluan LRT Sri Petaling jarang ada masalah. Kenapa eh?” soalnya.
View on Threads
Baca Artikel Berkaitan: Isu Gangguan LRT Kelana Jaya: Anthony Loke Arah APAD Siasat, Gesa Prasarana Beri Penjelasan [Video]
Respon Rapid KL Mengenai Gangguan Laluan LRT Kelana Jaya Hari Ini
Rapid KL kemudiannya tampil memberi penjelasan tentang punca kelewatan tren pada hari ini. Jelasnya, kelewatan perkhidmatan kereta api berlaku akibat sebuah tren yang tidak dapat bergerak akibat isu komponen tren di stesen Kelana Jaya.
Menurutnya, waktu menunggu penumpang di platform, khasnya di stesen Ara Damansara dan Kelana Jaya dijangka lebih lama.
“Kerja-kerja baik pulih sedang dijalankan. Sehubungan itu, bagi memastikan keselamatan serta kelancaran pergerakan penumpang, kawalan kemasukan dan aliran penumpang sedang dilaksanakan di stesen-stesen terlibat.
“Pengguna juga boleh menggunakan laluan alternatif untuk ke destinasi masing-masing seperti Laluan Ampang/Sri Petaling, Laluan Kajang, Laluan Putrajaya dan Laluan Monorel,” kata Rapid KL menerusi hantaran di laman Facebook.
Menerusi aplikasi Pulse pula, Rapid KL memaklumkan perkhidmatan tren alternatif telah diaktifkan seperti berikut:
- Tren dari Stesen Gombak akan berpatah balik di Stesen Taman Jaya (6 minit).
- Tren dari Stesen Putra Heights akan berpatah balik di Stesen Ara Damansara (6 minit).
- Tren perantara dari Stesen Ara Damansara di Platform 2 dan Kelana Jaya di Platform 2 (8 minit).
- Tren perantara dari Stesen Kelana Jaya di Platform 2 dan Taman Jaya di Platform 2 (12 minit).
Rapid KL Sediakan Khidmat Bas Percuma Sebagai Alternatif
Sementara itu, perkhidmatan bas perantara ulang-alik percuma juga disediakan di antara stesen Ara Damansara hingga Taman Jaya bagi membantu penumpang meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing seperti berikut:
- LRT Ara Damansara – LRT Lembah Subang – LRT Kelana Jaya – LRT Taman Bahagia – LRT Taman Paramount – LRT Asia Jaya – LRT Taman Jaya

