Laluan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) semakin hampir dilancarkan. Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memaklumkan projek ini kini berada di fasa ujian akhir, di mana operasi percubaan sedang dijalankan dan tren telah bersedia untuk diservis. Pada masa yang sama, beliau menjelaskan bahawa tarikh rasmi operasi akan diumumkan dalam tempoh dua minggu dengan sasaran perkhidmatan mula beroperasi pada penghujung Jun ini.

Projek ini pada asalnya disasarkan untuk beroperasi pada 30 September 2025 selepas mencapai 99.21% siap. Namun begitu, cabaran dalam penyelarasan sistem dan ujian akhir menyebabkan jadual asal tergelincir. Pada 23 Februari lalu, Anthony Loke menyatakan keyakinan bahawa LRT3 akan beroperasi sebelum Jun. Bagaimanapun, pada 28 April beliau memberi amaran bahawa kelewatan berterusan boleh meningkatkan kos serta menjejaskan kontraktor akibat isu teknikal yang masih belum diselesaikan.

LRT3 ialah perkhidmatan rel transit keempat di Lembah Klang dan akan dikendalikan oleh Rapid KL. Laluan sepanjang 37km ini menghubungkan Bandar Utama di Petaling Jaya hingga Johan Setia di Klang dengan 25 stesen yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 2 juta penduduk di kawasan pesat membangun. Dengan kos pembinaan berjumlah RM21.93 bilion, projek ini dijangka mampu membawa sehingga 39,260 penumpang setiap jam sekali gus mengurangkan kesesakan lalu lintas serta meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan awam.
Dalam perkembangan berkaitan, kementerian turut menekankan aspek keselamatan pengangkutan. Antara langkah yang sedang dipertimbangkan ialah cadangan menubuhkan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Malaysia (MTSB). Selain itu, perbincangan bersama pengendali e-hailing turut dijalankan mengenai pemasangan kamera pemuka bagi melindungi pemandu. Namun begitu, langkah ini perlu memastikan keseimbangan antara keselamatan pemandu dan privasi penumpang agar kepentingan kedua-dua pihak terpelihara.
Sumber – Utusan Malaysia





