APAD buka kertas siasatan insiden tren tergelincir di Stesen Chan Sow Lin

29 May 2026 • 9:36 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

Image from: APAD buka kertas siasatan insiden tren tergelincir di Stesen Chan Sow Lin

KUALA LUMPUR - Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah membuka kertas siasatan berhubung insiden tren Transit Aliran Ringan (LRT) tergelincir landasan yang berlaku berhampiran Stesen Chan Sow Lin pagi semalam.

Dalam kenyataannya hari ini, APAD berkata, siasatan dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian termasuk meneliti aspek pematuhan prosedur operasi standard, penyelenggaraan aset, sistem keselamatan serta pengoperasian tren.

Sambil memaklumkan ia memandang serius insiden berkenaan, agensi berkenaan memberitahu pihak pengendali telah diarahkan untuk mengemukakan laporan lengkap berhubung insiden tersebut secepat mungkin.

“Laporan berkenaan akan diteliti secara terperinci sebelum proses temu siasat dan penelitian lanjut dilaksanakan oleh APAD bagi mengenal pasti faktor-faktor yang menyumbang kepada kejadian serta menentukan sama ada wujud sebarang unsur ketidakpatuhan, kecuaian atau pelanggaran syarat lesen pengendalian,’’ katanya.

Semalam, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memberitahu pasukan petugas khas ditubuhkan bagi menyiasat insiden tersebut dan mengarahkan APAD mengambil tindakan hukuman paling maksimum terhadap pengendali perkhidmatan iaitu Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana).

Menurutnya, dapatan siasatan oleh pasukan berkenaan akan dikemukakan kepada Jemaah Menteri dan dihebahkan secepat mungkin.

Insiden itu menyaksikan sebuah tren bagi Laluan Ampang/Sri Petaling tergelincir ketika melalui kawasan suis landasan berdekatan Stesen Chan Sow Lin sehingga menjejaskan jadual perkhidmatan.

Rapid KL dalam kenyataan memaklumkan insiden itu berpunca daripada kerosakan suis landasan yang menyebabkan tren tidak dapat bergerak.

Dalam pada itu, APAD memberitahu, agensi tersebut telah melaksanakan pemeriksaan tapak bagi menilai keadaan awal insiden serta memastikan tindakan segera diambil oleh pihak pengendali.

“Pemeriksaan tapak pertama telah diketuai oleh Ketua Pengarah APAD bersama wakil Bahagian Penguatkuasaan Rel serta Bahagian Perancangan Rel.

“Sesi pemeriksaan tapak kedua pula telah diadakan pada jam 3.00 petang melibatkan wakil Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) bagi meneliti perkembangan awal siasatan, tahap keselamatan operasi serta langkah-langkah susulan yang perlu dilaksanakan oleh pihak pengendali,’’ katanya.

Tegasnya, keselamatan pengguna, kebolehpercayaan sistem rel serta integriti perkhidmatan pengangkutan awam merupakan perkara yang tidak boleh dikompromikan dalam apa jua keadaan.

“APAD akan memastikan siasatan dijalankan secara bebas, telus, profesional dan menyeluruh serta segala tindakan sewajarnya diambil berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,’’ katanya. - 29 Mei, 2026

The post APAD buka kertas siasatan insiden tren tergelincir di Stesen Chan Sow Lin appeared first on Scoop.