LRT3: Laluan pejalan kaki ke Stesen Stadium Shah Alam siap esok

5 Jul 2026 • 6:21 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

LRT3: Laluan pejalan kaki ke Stesen Stadium Shah Alam siap esok

SHAH ALAM, 5 JULAI: Pembinaan laluan pejalan kaki sejauh 200 meter berhampiran Stesen Transit Aliran Ringan (LRT3) Stadium Shah Alam di sepanjang Persiaran Sukan, Seksyen 13, di sini yang kini giat dilaksanakan, dijangka siap sepenuhnya esok.

Projek berkenaan merupakan tindakan segera Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) susulan lawatan EXCO Kerajaan Tempatan, Dato’ Ng Suee Lim bersama Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik, Mohd Najwan Halimi ke lokasi yang tular di media sosial pada Rabu lalu. 

Menerusi hantaran di Facebook, Mohd Najwan yang juga EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan berkata laluan itu dibina bagi memudahkan akses pejalan kaki ke Stesen LRT Stadium Shah Alam dan kawasan berhampiran. 

Image from: LRT3: Laluan pejalan kaki ke Stesen Stadium Shah Alam siap esok
EXCO Keusahawanan Mohd Najwan Halimi

“Pembinaan laluan pejalan kaki yang menghubungkan Stesen LRT Stadium Shah Alam ke AEON Mall di sepanjang Persiaran Sukan, Seksyen 13 sedang giat dilaksanakan dan dijangka siap sepenuhnya esok.

“Saya dimaklumkan hari Selasa ini, pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan meneruskan kerja-kerja pembinaan laluan pejalan kaki ini di sepanjang Persiaran Akuatik pula,” katanya.

Pada 1 Julai lalu, MBSA mengumumkan pelaksanaan pembinaan laluan pejalan kaki berkenaan sebagai langkah segera bagi mengatasi isu akses pejalan kaki ke Stesen LRT3 Shah Alam.

Menurut Jabatan Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, inisiatif itu diambil bagi menyediakan jaringan laluan pejalan kaki yang lebih lengkap dan selesa sejajar dengan pengoperasian LRT3.

MBSA turut memaklumkan pihaknya mengambil perhatian terhadap maklum balas orang ramai berhubung kemudahan pejalan kaki di beberapa stesen LRT3, termasuk Stesen Dato' Menteri, Stesen Stadium Shah Alam, Stesen Seksyen 7 dan Stesen Kerjaya yang mula beroperasi Isnin lalu.

Image from: LRT3: Laluan pejalan kaki ke Stesen Stadium Shah Alam siap esok
EXCO Kerajaan Tempatan, Dato’ Ng Suee Lim bersama Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik, Mohd Najwan Halimi meninjau kemudahan pejalan kaki berhampiran Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Stadium Shah Alam pada 1 Julai 2026. Turut hadir, Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Zabidah Safar. Foto oleh NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR

Sebelum ini, sebuah video memaparkan pengguna terpaksa berjalan di bahu jalan akibat ketiadaan laluan pejalan kaki yang selamat ke beberapa stesen LRT3 tular di media sosial, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi daripada orang ramai.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved