
SHAH ALAM, 1 JULAI: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dan pemaju diarahkan menyegerakan kerja-kerja pembinaan infrastruktur pejalan kaki yang masih belum siap di stesen Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) yang baru beroperasi bagi menangani isu keselamatan dan akses pengguna.
EXCO Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Dato' Ng Suee Lim berkata Prasarana diberi tempoh dua bulan untuk menyiapkan baki kerja di Stesen Dato' Menteri yang tular baru-baru ini berikutan laluan pejalan kaki yang tidak bersambung.
"Hari ini kita menjalankan pemeriksaan bagi mengenal pasti isu di lokasi. Antara yang dikenal pasti ialah Prasarana masih belum menyiapkan beberapa kerja yang sepatutnya diselesaikan, termasuk beberapa bahagian tambahan di sepanjang jajaran.
"Kita mengarahkan Prasarana menyiapkan kerja-kerja itu dalam tempoh dua bulan, khususnya di Stesen Dato' Menteri yang menghubungkan ke Stesen Stadium Shah Alam," katanya pada sidang media selepas mengadakan tinjauan di Stesen Stadium Shah Alam hari ini.
Kenyataan itu dibuat susulan tular video memaparkan laluan pejalan kaki yang masih belum siap di dua stesen berkenaan sehingga menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan pengguna.
Suee Lim berkata beberapa kemudahan pejalan kaki tidak dapat disiapkan sepenuhnya sebelum LRT3 memulakan operasi semalam berikutan kekangan di tapak pembinaan.
"Kita mengakui terdapat kelemahan. Apabila operasi bermula dan orang ramai mula menggunakan kemudahan ini, isu-isu berbangkit mula dikenal pasti. Kita mengambil tindakan segera untuk menyelesaikannya," katanya.
Beliau berkata Kerajaan Negeri akan melibatkan semua pihak berkaitan termasuk Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) serta pemaju seperti Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bagi menyelaras dan mempercepat kerja naik taraf infrastruktur di lokasi lain.
MBSA turut diarahkan memeriksa semua stesen LRT3 dalam kawasan pentadbirannya bagi mengenal pasti sebarang kelemahan yang sama, manakala pihak berkuasa tempatan di kawasan lain termasuk Klang diminta melaksanakan tindakan serupa.
"Tidak ada penyelesaian jangka pendek. Satu-satunya penyelesaian ialah mempercepatkan kerja-kerja pembinaan," katanya ketika ditanya mengenai langkah sementara sementara menunggu laluan pejalan kaki disiapkan.
Beliau berkata Kerajaan Negeri belum memperuntukkan dana tambahan bagi kerja pembaikan berkenaan.
Sementara itu, Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Anggerik, Mohd Najwan Halimi berkata walaupun lintasan belang disediakan di stesen LRT3, sebahagian rangkaian laluan pejalan kaki masih belum lengkap dan tidak mesra orang kurang upaya (OKU).
Beliau yang juga EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan turut menggesa MBSA meneliti semula tempoh lampu isyarat bagi memberi masa yang lebih sesuai dan selamat kepada pejalan kaki untuk melintas.
Mohd Najwan berkata terdapat pengguna yang memilih melintas jalan secara berbahaya berbanding menggunakan lintasan disediakan, justeru MBSA perlu segera memeriksa, menaik taraf dan membaiki kemudahan pejalan kaki di sekitar stesen LRT3 demi meningkatkan aspek keselamatan dan aksesibiliti pengguna.






