
Selepas bertahun-tahun mengukuhkan nama dalam industri helmet motosikal, LS2 Global kini dilihat semakin agresif memperluaskan portfolio perlindungan penunggang dengan memasuki fasa baharu iaitu pembangunan kelengkapan khusus untuk dunia perlumbaan dan sukan permotoran.
Langkah ini hadir selepas LS2 mencapai tahap kematangan dalam segmen helmet, termasuk kejayaan menjalin kerjasama di pentas tertinggi perlumbaan motosikal dunia menerusi penampilan bersama pelumba MotoGP, Fermín Aldeguer.
Namun, perjalanan LS2 tidak terhenti di situ. Jenama dari Sepanyol ini kini dilihat serius untuk melengkapkan ekosistem keselamatan penunggang dengan menawarkan hampir keseluruhan rangkaian kelengkapan, daripada helmet, jaket, sarung tangan, pakaian menunggang, seluar, beg sehinggalah aksesori perlindungan lain.
Pada sesi media sempena LS2 Asia & Oceania International Convention 2026 yang berlangsung di Malaysia baru-baru ini, LS2 turut memperlihatkan beberapa produk terbaharu termasuk sebuah model boot tunggangan yang mencuri perhatian.
Walaupun LS2 tidak secara rasmi menyatakan bahawa boot tersebut dibangunkan khusus untuk kegunaan litar, reka bentuk serta ciri yang dipamerkan dilihat mempunyai elemen yang dekat dengan keperluan perlumbaan, termasuk aspek perlindungan dan sokongan untuk penggunaan berprestasi tinggi.




Dalam sesi soal jawab bersama media, Two Wheels Media sempat mendapatkan penjelasan mengenai kemungkinan LS2 melangkah lebih jauh ke arah kategori perlumbaan. Pihak LS2 mengesahkan bahawa mereka sememangnya sedang membangunkan kategori tersebut sebagai sebahagian daripada perancangan masa hadapan jenama.
Ini bermakna LS2 kini secara rasmi sedang meneroka pembangunan kelengkapan perlumbaan seperti sut perlumbaan, sarung tangan racing, boot perlumbaan dan kemungkinan produk lain yang berkaitan dengan dunia sukan permotoran.
Bagaimanapun, LS2 masih belum mendedahkan secara terperinci produk mana yang sedang berada dalam fasa pembangunan atau tarikh pelancaran rasmi untuk kategori baharu ini.
Dengan kemasukan ke segmen perlumbaan, LS2 berpotensi menjadi salah satu jenama yang menawarkan penyelesaian lengkap kepada penunggang, daripada perjalanan harian, tunggangan touring sehinggalah ke peringkat kompetitif di litar.
Selepas berjaya membina reputasi melalui helmet, langkah seterusnya LS2 jelas menunjukkan mereka mahu menjadi lebih daripada sekadar pengeluar perlindungan kepala, tetapi sebuah jenama lengkap dalam dunia keselamatan dan prestasi motosikal.
The post LS2 Sah Bangunkan Kategori Perlumbaan, Langkah Seterusnya Selepas Kukuhkan Dominasi Helmet appeared first on TW Media.
