KUALA LUMPUR - Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mengumumkan kadar dividen sebanyak 5.35 peratus dengan agihan keseluruhan berjumlah RM524.74 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.
Pengagihan dividen berkenaan meningkat berbanding RM514.20 juta yang dibayar pada tahun 2024, menjadikannya jumlah agihan dividen tertinggi LTAT dalam tempoh lapan tahun sekali gus mengukuhkan komitmen berterusan LTAT memastikan kesejahteraan kewangan jangka panjang warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus terpelihara.
Bagi tahun kewangan dilaporkan, LTAT mencatatkan prestasi kewangan yang kukuh dengan Jumlah Pendapatan Pelaburan sebanyak RM749.49 juta bagi FY2025.
Keuntungan Boleh Agih pula direkodkan sebanyak RM541.56 juta manakala Rizab meningkat sebanyak 29.1 peratus tahun ke tahun kepada RM1.31 bilion berbanding RM1.01 bilion pada FY2024.
Pengisytiharan dividen ini juga menandakan tahun keempat berturut-turut LTAT mencatatkan pulangan dividen sebanyak 5 peratus atau lebih, sekali gus menyerlahkan pendekatan pelaburan yang berdisiplin serta usaha berterusan dana dalam mengoptimumkan portfolio pelaburannya dalam persekitaran ekonomi dinamik.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tahun 2025 menyaksikan pencapaian memberangsangkan LTAT, walaupun berdepan cabaran ekonomi global ia berjaya mengekalkan kedudukan kewangan yang stabil.
"LTAT juga terus memperkukuh portfolio pelaburannya dengan penuh komitmen. Setiap pelaburan diteliti dengan rapi, kelemahan diperbaiki dan tadbir urus syarikat-syarikat di bawah Kumpulan LTAT diperkukuh.
"Dan saya percaya LTAT sedang melaksanakan transformasi merentasi syarikat-syarikat bagi memperkukuh prestasi, meningkatkan daya saing serta mencipta nilai yang lebih besar kepada pencarum," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pengumuman Dividen LTAT 2025 di Royale Chulan, Kuala Lumpur pada Khamis.
Turut hadir, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali serta Pengerusi LTAT, Jeneral (B) Tan Sri Datuk Sri Azizan Ariffin TUDM bersama para tetamu kehormat lain.
Tambah Mohamed Khaled, selain pencapaian kewangan, LTAT turut memperkenalkan Pelan Halatuju Strategik 2026-2030 atau GEMPUR30.
"Pelan ini bukan sahaja memacu prestasi pelaburan LTAT malah menyokong aspirasi Kerajaan dalam memperkukuh industri pertahanan negara melalui Dasar Industri Pertahanan Negara.
"Antaranya, melalui Kumpulan Boustead, LTAT menyokong pembangunan keupayaan industri pertahanan dan projek hartanah untuk anggota ATM termasuk inisiatif Projek Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) dan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT).
"Melalui Pharmaniaga pula, LTAT memperkukuh keupayaan industri farmaseutikal negara serta rantaian bekalan ubat-ubatan dan produk kesihatan demi kepentingan strategik rakyat dan negara," katanya.
Sementara itu, Ketua Eksekutif LTAT, Mohammad Ashraf Md Radzi berkata, pencapaian ini merupakan hasil daripada perubahan strategik yang dirancang secara menyeluruh dalam cara LTAT beroperasi dan mengurus pelaburannya untuk jangka masa panjang.
“Kami amat berbesar hati dengan prestasi yang terus menunjukkan peningkatan dari tahun ke tahun dan yakin terhadap kemampanan LTAT pada masa hadapan.
"Keputusan yang diumumkan hari ini membuktikan bahawa LTAT berada pada kedudukan yang stabil serta bersedia untuk melangkah ke fasa seterusnya dalam pertumbuhan institusi," katanya.
Pada majlis sama, turut diluncurkan tiga inisiatif baharu untuk memperkasakan warga ATM, iaitu Program Affin LTAT Affiliated Debit Mastercard; Kempen Bersama Wira 2.0 dan Penambahbaikan aplikasi MyWIRA 2.0.
Ketiga-tiga inisiatif ini menekankan pemerkasaan literasi kewangan anggota ATM, penyertaan dan keprihatinan masyarakat terhadap kebajikan anggota serta peningkatan akses kepada perkhidmatan digital yang lebih cekap dan menyeluruh.

