
SHAH ALAM: Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) akan mengenal pasti tahap keupayaan pasukan Jelajah Dunia sebelum membuat percaturan dalam setiap peringkat perlumbaan jelajah Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 yang bermula esok.
Mohd Harrif Saleh berkata penyertaan enam pasukan Jelajah Dunia itu bakal memberikan cabaran sengit buat semua pelumba setelah dua tahun LTdL tidak dianjurkan berikutan penularan pandemik Covid-19.
“Perlumbaan pada tahun ini memang cukup berbeza kerana selain mereka (pasukan Jelajah Dunia) ada juga penyertaan pasukan profesional benua lain yang sudah pasti akan memberikan cabaran sukar.
“Dua tahun tidak ada LTdL, jadi saya rasa semua pasukan juga perlu melakukan perkara sama dengan cara memahami situasi berdepan pasukan Jelajah Dunia ini yang pastinya berbeza. Apapun kami akan cuba buat yang terbaik,“ katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau yang mencatat keputusan podium di Tour de Taiwan baru-baru ini berazam mahu mengekalkan momentum kayuhan terbaiknya apabila LTdL 2022 membuka tirai perlumbaan esok dengan Peringkat 1 bermula dari Kuala Pilah ke Kuala Lumpur.
Perlumbaan sejauh 157.3 kilometer itu menyediakan tiga zon pecutan selain lima zon pendakian.
Untuk rekod, enam pasukan Jelajah Dunia yang mengesahkan diri menyertai LTdL 2022 membabitkan UAE Team Emirates (UAE), Cofidis (Perancis), Lotto Soudal (Belgium), EF Education EasyPost (Amerika Syarikat), Movistar (Sepanyol) dan Astana-Qazaqstan (Kazakhstan).-Bernama

