LTdL26 diteruskan, penganjur pantau jerebu

15 Sep 2026 • 5:47 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: LTdL26 diteruskan, penganjur pantau jerebu

KUALA LUMPUR – Penganjur perlumbaan Le Tour de Langkawi 2026 (LTdL26) tetap memandang serius keadaan cuaca, termasuk jerebu sepanjang saingan yang akan berlangsung pada 27 September hingga 4 Oktober depan.

Ketua Pegawai Operasi (COO) Sekretariat LTdL26, Emir Abdul Jalal berkata, pihaknya sudah memiliki beberapa pelan alternatif seandainya berlaku jerebu, banjir atau hujan lebat yang mampu menjejaskan perlumbaan.

Beliau menjelaskan, penganjuran LTdL26 tertakluk kepada peraturan ditetapkan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), termasuk tindakan yang perlu diambil jika Indeks Pencemaran Udara (IPU) terlalu tinggi.

“Untuk penganjuran LTdL kali ini, kita sudah ada persiapan dan mempunyai alternatif. Jika bacaan jerebu terlalu tinggi sehingga membahayakan keselamatan, mungkin perlumbaan terpaksa dihentikan, dibatalkan atau dilewatkan.

“Perkara itu kita akan kemaskini dari semasa ke semasa berdasarkan keadaan. LTdL dan acara sukan di bawah UCI, semuanya mempunyai peraturan tertentu. Jika berlaku keadaan luar biasa, penganjur sudah pun menyediakan laluan alternatif,” katanya.

Tambah Emir, pengalaman yang pernah dilalui sebelum ini membuktikan bahawa LTdL26 perlu sentiasa bersedia menghadapi situasi luar jangkaan, sama seperti ketika perlumbaan dihentikan akibat banjir di Negeri Sembilan pada 2004.

Dalam pada itu, Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill berkata, pihaknya akan mengambil kira keadaan jerebu yang sukar diramal dan sentiasa berubah.

“Baru-baru ini kita lihat beberapa acara terpaksa dibatalkan atau ditangguhkan. Kalau terlalu banyak masalah akibat penangguhan, ia akan memberi kesan kepada penganjur yang sudah mengeluarkan wang bagi membawa masuk pasukan dan melakukan persiapan.

“Sekiranya keadaan jerebu tidak berada pada tahap yang teruk, saya syor kita teruskan. Jika tiada pasukan dari negara lain membuat sebarang aduan mengenai keadaan jerebu, saya fikir tiada sebab untuk kita menangguhkan perlumbaan,” ujarnya.

Sebagai rekod, sebanyak 38 kawasan di seluruh negara mencatatkan bacaan IPU tidak sihat setakat 9 pagi tadi termasuk di Sarawak, Johor, Negeri Sembilan, Selangor, Melaka dan Kuala Lumpur. – KOSMO! ONLINE

The post LTdL26 diteruskan, penganjur pantau jerebu appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved