LTSIP, Jambatan Palekbang lonjak ekonomi Kelantan - MB

LocalBusiness & Finance
18 Apr 2026 • 12:40 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: LTSIP, Jambatan Palekbang lonjak ekonomi Kelantan - MB
Mohd Nassuruddin (tengah) bersama Anwar (kanan) pada Majlis Perasmian Terminal Baharu LTSIP Pengkalan Chepa di Kota Bharu, pada Sabtu.

KOTA BHARU - Projek naik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa di sini dan pembinaan Jambatan Palekbang di Tumpat disifatkan sebagai pemangkin baharu yang mampu melonjakkan ekonomi negeri Kelantan.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, dua projek strategik itu bakal mengubah landskap negeri melalui peningkatan jaringan pengangkutan udara dan darat yang lebih efisien.

Menurut beliau, kerajaan negeri merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas komitmen berterusan merealisasikan projek menaik taraf lapangan terbang berkenaan.

"Naik taraf LTSIP ini bukan sahaja memberi keselesaan kepada pengguna, malah memperkukuh hubungan udara serta menyokong pertumbuhan pelancongan dan ekonomi negeri secara menyeluruh.

"Dengan kedudukan strategik Kelantan berhampiran sempadan Malaysia-Thailand, negeri ini berpotensi menjadi pintu masuk utama ke rantau ini,"

katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Terminal Baharu LTSIP Pengkalan Chepa di sini pada Sabtu.

Menurut beliau, projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 itu melibatkan pembesaran terminal serta pemanjangan landasan daripada 2,400 meter kepada 2,800 meter bagi membolehkan operasi pesawat lebih besar dan bertaraf antarabangsa.

Ujarnya, kapasiti lapangan terbang itu juga meningkat daripada 1.5 juta kepada empat juta penumpang setahun selain dijadual memulakan penerbangan antarabangsa ke Jakarta bermula Jun ini.

Dalam perkembangan sama, Mohd Nassuruddin memberitahu, pembinaan Jambatan Palekbang yang dijangka siap penghujung 2027 bakal menjadi pemangkin baharu pertumbuhan ekonomi negeri.

"Ia bukan sahaja melancarkan perhubungan antara dua daerah, malah memperkukuh laluan strategik yang menghubungkan sempadan Malaysia-Thailand ke lapangan terbang dengan lebih efektif," katanya.

Beliau optimis pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur asas yang sedang giat dijalankan meletakkan Kelantan pada landasan tepat untuk terus melangkah ke hadapan dan meningkatkan taraf hidup rakyat.