Rakyat Kelantan boleh terbang terus dari Kota Bharu jumpa 'Oppa'

LocalTravel
18 Apr 2026 • 1:53 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Rakyat Kelantan boleh terbang terus dari Kota Bharu jumpa 'Oppa'
Anthony berucap pada Majlis Perasmian Terminal Baharu LTSIP Pengkalan Chepa yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

KOTA BHARU - Rakyat di negeri ini boleh terbang terus ke Korea dan China apabila projek pemanjangan landasan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa di sini siap sepenuhnya pada penghujung tahun depan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, projek penambahan landasan bagi melengkapkan kepanjangan 1,800 meter itu sudah bermula dan bakal membolehkan lapangan terbang tersebut mengendalikan penerbangan jarak jauh melebihi enam jam termasuk ke China serta Korea.

Menurut beliau, ketika ini landasan sedia ada sudah mampu menampung penerbangan antarabangsa lebih dua jam seperti ke Singapura, Bangkok dan Jakarta tanpa sebarang masalah.

"Bagi penerbangan antarabangsa melebihi enam jam, pesawat memerlukan penggunaan minyak lebih banyak dan memerlukan landasan lebih panjang untuk berlepas serta membawa muatan lebih besar.

"Pemanjangan landasan ini akan menarik lebih banyak penerbangan antarabangsa sekali gus meningkatkan potensi LTSIP sebagai hab penerbangan ke Pantai Timur Semenanjung Malaysia," katanya semasa sidang akhbar pada Sabtu.

Sebelum itu beliau hadir pada Majlis Perasmian Terminal Baharu LTSIP Pengkalan Chepa di sini yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ujarnya, perasmian itu menandakan projek naik taraf LTSIP bernilai RM440 juta telah siap sepenuhnya dan lapangan terbang berkenaan kini bersedia memainkan peranan lebih besar.

Kata beliau, walaupun LTSIP adalah lapangan terbang domestik, ia kini dilengkapi kemudahan imigresen dan kastam yang membolehkannya mengendalikan penerbangan antarabangsa.

"Kita memang merancang membuka laluan baharu selain Singapura, Jakarta dan Bangkok dalam masa terdekat kerana Kota Bharu mempunyai potensi besar sebagai pintu masuk ke Pantai Timur," katanya.

Menurut beliau, kerajaan juga sedang berusaha menarik lebih banyak syarikat penerbangan menjadikan LTSIP sebagai hab serantau, termasuk syarikat tempatan seperti Malaysia Airlines, Batik Air dan AirAsia.

Katanya, lokasi strategik Kota Bharu turut memberi kelebihan untuk menarik penumpang dari negara jiran khususnya Thailand menggunakan LTSIP sebagai transit ke Kuala Lumpur, Singapura, Jakarta dan destinasi lain.