
Saudara Pengarang,
Hujung minggu lalu, saya dan keluarga mengunjungi Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur untuk bersiar-siar, bukannya menjadi peserta atau wakil Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026.
Saya kagum melihat kemeriahan program itu yang menghimpunkan puluhan ribu orang Melayu di dalam sebuah parti terbesar di negara ini. Pelbagai ragam dapat dilihat, ada yang datang bertongkat, berkerusi roda, malah ramai warga emas yang hadir memberikan sokongan.
Ada yang tidak canggung duduk bersila dan bersandar di dinding dewan untuk melepaskan lelah meskipun orang ramai lalu-lalang di hadapan mereka.
Pada hemat saya, mereka ini mungkin datang untuk memberikan sokongan kepada parti keramat tersebut, tetapi apa yang menyedihkan saya adalah harga barangan yang dijual di sekitar WTC itu dilihat agak sedikit mahal berbanding di luar kawasan tersebut.
Tapi saya masih bersangka baik, mungkin mereka menyewa tapak tersebut pada harga agak tinggi dan terpaksa meletakkan harga mahal.
Yang dilihat amat ketara adalah harga makanan dan minuman. Bagi saya yang pendapatan sederhana dan memiliki anak ramai agak terasa juga bila berbelanja di WTC walaupun cuma makanan.
Sepatutnya, harga makanan dan minuman ini tidak dinaikkan ‘melampau’ kerana ramai yang berkunjung ke sana untuk bersiar-siar bersama keluarga, bukannya ahli politik.
Ibu Abadi
Kajang, Selangor
The post Luahan pembaca: Harga makanan, minuman ‘cekik darah’ di PAU 2026 appeared first on Kosmo Online.


