
SHAH ALAM- Orang ramai dan pihak media diminta untuk memberikan ruang privasi kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad serta ahli keluarganya, ketika ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, Tun Mahathir dan ahli keluarganya masih lagi dalam keadaan sedih dan berduka ke atas kematian Allahyarhamah Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali, Isnin lalu.
“Seperti yang diminta Datuk Seri Mukhriz Mahathir semalam, saya mohon mereka yang hendak tanya khabar Tun Mahathir kepadanya ketika ini untuk tangguhkan dahulu niat dahulu.
“Berikan masa kepada Tun Mahathir untuk berehat dan tenangkan dirinya,” katanya selepas Program Madani Kita Bersama-Sama Komuniti Kota Anggerik, di sini, hari ini.
Baru-baru ini, media melaporkan Mukhriz meminta rakyat Malaysia supaya memberi ruang dan masa kepada ayahnya yang masih bersedih dengan pemergian ibunya.
Beliau berkata, Tun Mahathir masih lagi dalam proses untuk menerima kehilangan Tun Siti Hasmah, justeru harap semua pihak boleh memahami keadaan ayahnya ketika ini.
Dalam hal berbeza, Fahmi memaklumkan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengenal pasti akaun milik yang menyebarkan kandungan jelik terhadap Tun Mahathir, baru-baru ini.
“MCMC dan pihak polis akan bekerjasama menjejaki akaun ini. Saya ada juga lihat beberapa akaun ini. Tapi akaun ini saya lihat, sekejap ada di media sosial. Pihak berkuasa akan cari akaun ini sampai dapat,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE
The post Beri ruang privasi kepada Tun M – Fahmi appeared first on Kosmo Online.






