
SHAH ALAM, 4 JULAI: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengesan bau abnormal sehingga empat ton di muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih sekitar jam 12.30 tengah malam tadi.
LUAS menerusi hantaran di Facebook memaklumkan Kod Kuning mengikut Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air untuk tindakan siasatan menyeluruh serta pencegahan segera turut diaktifkan.
“Dalam masa sama, sebanyak lima pam dengan jumlah keseluruhan 770 juta liter sehari (JLH) air daripada projek Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) telah dipam ke dalam Sungai Semenyih.
“Tindakan itu dilaksanakan bagi meningkatkan kadar pencairan dan mempercepatkan aliran tercemar ke hilir muka sauk LRA Sungai Semenyih,” katanya.
Susulan itu, LUAS juga meningkatkan kekerapan pemantauan di lokasi kepada setiap 30 minit sebagai langkah pemerhatian rapi.
Jelas LUAS, siasatan awal yang dijalankan bersama Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) pagi tadi itu turut mendapati punca bau abnormal tersebut adalah daripada aliran di Sungai Kabul.
Dalam pada itu, bacaan bau mula menunjukkan tren menurun pada jam 2.30 pagi dan bacaan 0 ton mula direkodkan pada jam 3.30 pagi sehingga kini.
The post LUAS bertindak pantas atasi bau abnormal di LRA Sungai Semenyih appeared first on Selangorkini.

