
GUA MUSANG – Pemeriksaan teknikal dan kerja pembaikan segera perlu dilaksanakan bagi menangani kejadian lubang benam di Laluan FT08 jajaran projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) Pakej 3B dan 3C di Jalan Gua Musang-Kota Bharu berhampiran Taman Rekreasi Kesedar di sini yang dikhuatiri boleh merebak ke struktur jalan bersebelahan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Datuk Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, tindakan segera penting kerana jalan berkenaan menjadi laluan utama orang ramai termasuk penduduk tempatan untuk menjalankan urusan harian.
“Laluan itu memerlukan pembaikan segera kerana menjadi jalan utama penduduk dan menghantar anak ke sekolah.Kita bimbang kejadian itu akan merebak ke jalan bersebelahan memandangkan keadaan cuaca hujan kebelakangan ini yang dikhuatiri boleh menyebabkan pembentukan lubang benam,” katanya.
Mohd. Syahbuddin memberitahu, pemeriksaan teknikal perlu dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian serta menilai tahap keselamatan struktur jalan berhampiran.
Katanya, langkah itu penting bagi memastikan tindakan pembaikan yang bersesuaian dapat dilaksanakan bagi mengelakkan risiko lebih serius kepada pengguna jalan raya.
“Selain itu, masalah limpahan air dan banjir kilat yang menjejaskan jalan utama Taman Kesedar Putra ke Taman Kesedar Jaya yang memerlukan perhatian segera.
“Isu banjir kilat di laluan berkenaan sebelum ini dibangkitkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah Gua Musang pada 23 September lalu. Ketua Jajahan Gua Musang, Datuk Mohd. Roshdi Ismail telah mengarahkan pihak berkuasa tempatan melaksanakan langkah mitigasi sementara di kedua-dua lokasi bagi mengurangkan risiko kepada orang awam sementara menunggu kerja pembaikan menyeluruh,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Lubang benam Gua Musang, rekahan berisiko merebak ke jalan sebelah appeared first on Kosmo Online.






