
SEBERANG PERAI – Kegembiraan pasangan suami isteri menyambut cahaya mata pertama selepas lima tahun mendirikan rumah tangga bertukar kebimbangan apabila anak mereka disahkan menghidap kecacatan jantung kongenital.
Bayi perempuan berusia setahun setengah, Elnaura Azzalea Muhammad Syazwan dari Bayan Lepas itu mempunyai tiga lubang pada jantung dan memerlukan RM80,000 bagi menampung kos pembedahan.
Bapanya, Muhammad Anuar Syazwan Zafree, 32, berkata, masalah kesihatan anaknya mula dikesan selepas dilahirkan secara pembedahan caesarean apabila paras oksigen bayi berkenaan didapati rendah.
Katanya, ketika Elnaura Azzalea berusia dua minggu, doktor turut mengesan bunyi degupan jantung yang tidak normal sebelum merujuknya ke hospital kerajaan untuk pemeriksaan lanjut.
“Hasil pemeriksaan mendapati dia mengalami kecacatan jantung kongenital, dengan tiga lubang pada jantung yang dikenali sebagai Moderate Perimembranous Ventricular Septal Defect (VSD).
“Oleh kerana saiz lubang pada ketika itu tidak besar, doktor berpendapat ia berkemungkinan tertutup sendiri semasa anak saya membesar dan diberikan ubat untuk mengawal keadaan,” katanya.
Namun, pemeriksaan susulan pada Jun lalu mendapati salah satu lubang pada jantung anaknya semakin membesar sehingga enam milimeter.
“Doktor memaklumkan, keadaan itu memerlukan pembedahan segera bagi menutup lubang berkenaan.Dua lagi lubang masih kecil dan perlu terus dipantau sebelum doktor menentukan kaedah rawatan seterusnya,” katanya lagi.
Menurut Muhammad Anuar Syazwan, keadaan itu menyebabkan dia dan isteri semakin bimbang kerana kos pembedahan yang tinggi, sedangkan mereka hanya mampu menyediakan RM3,000.
“Saya menjadi buntu kerana pembedahan perlu dibuat secepat mungkin sehingga terpaksa merayu bantuan dana.
“Tanpa pembedahan, jantungnya tidak mampu menanggung beban yang sekali gus boleh menyebabkan kegagalan jantung dan tekanan darah tinggi pada arteri pulmonari selain mengancam nyawanya,” ujarnya.
Bapa Elnaura Azzalea bekerja sebagai juruteknik manakala ibunya merupakan suri rumah.
Sementara itu, Pengerusi One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, pihaknya tampil membantu keluarga berkenaan mengumpulkan dana bagi membolehkan pembedahan Elnaura Azzalea dilakukan secepat mungkin.
“Bapa Elnaura Azzalea bekerja sebagai juruteknik manakala ibunya, suri rumah.
“Demi memastikan anak mereka dapat menjalani pembedahan secepat mungkin, kami akan mengumpul baki RM80,000 yang diperlukan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Public Bank Berhad atas nama One Hope Charity & Welfare (3201428817) atau melalui laman web onehopecharity.org. -KOSMO! ONLINE
The post Lubang jantung Elnaura membesar enam milimeter appeared first on Kosmo Online.


