Lubuk pari mega di Benteng Senok

30 Jul 2026 • 11:21 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Lubuk pari mega di Benteng Senok

Bagi kumpulan Fish Hunter yang dianggotai oleh Mohd. Afiq Abdul Kadir, 31, Mohd. Asrul Abdul Kadir, 29, dan Mohd. Asyraf Zakaria, 26, tambak berbatu itu bukan sekadar tempat mengisi masa lapang, sebaliknya menjadi lokasi memburu rezeki hasil laut yang lumayan

Sepanjang tahun ini sahaja, mereka sudah lebih 10 kali berjaya mendaratkan ikan pari bersaiz besar, malah hasil tangkapan dijual sebelum keuntungan diagihkan sesama ahli mengikut konsep permuafakatan.

“Kami tidak mementingkan siapa yang bertarung dengan ikan, semua ahli akan bergilir-gilir melayan ikan sehingga berjaya dinaikkan, itulah semangat Fish Hunter,” kata Mohd. Afiq.

Menurutnya, kejayaan terbesar mereka setakat ini adalah mendaratkan seekor ikan pari seberat 35 kilogram (kg) yang dijual pada harga RM420.

“Pari itu mengambil masa hampir dua jam untuk ditewaskan. Bermula sekitar pukul 10 pagi, kami bersama-sama mengendalikan joran sehingga akhirnya berjaya mendaratkannya kira-kira pukul 12 tengah hari.

“Apabila joran galah (surf rod) melentur, kami sudah tahu ikan di hujung tali bukan calang-calang. Saat itulah kesabaran dan kerjasama menjadi penentu kejayaan,” katanya.

Tambahnya, umpan paling berkesan di perairan Pantai Senok adalah udang hidup yang masih segar.

“Kami biasanya keluar pada waktu malam menjala udang untuk dijadikan umpan pada keesokan harinya. Umpan udang hidup memang paling digemari ikan pari di kawasan ini, lebih-lebih lagi jika ia bersaiz besar,” katanya.

Persahabatan

Menurut Mohd. Afiq, aktiviti memancing bukan sekadar mengejar hasil tangkapan, malah menjadi medium mengeratkan persahabatan, selain mencipta kenangan.

Image from: Lubuk pari mega di Benteng Senok
Detik gembira buat Mohd. Asrul apabila berjaya mendaratkan ikan pari saiz 35kg.

“Dua keuntungan kami dapat iaitu menjual hasil tangkapan sebagai pendapatan sampingan dan merakam setiap detik pertarungan sebagai kenangan bersama rakan-rakan,” ujarnya.

Untuk makluman, Pantai Senok mempunyai struktur dasar berpasir yang luas, selain dipengaruhi kawasan muara dan perubahan arus pasang surut. Keadaan itu menjadikannya habitat sesuai untuk ikan pari mencari makanan seperti udang, ketam dan ikan kecil.

Dalam dunia memancing, ikan pari terkenal dengan sifatnya yang gemar ‘bersauh’ iaitu membenamkan badan ke dasar pasir atau lumpur selepas menyambar umpan.

Keadaan itulah menyebabkan ramai pemancing me­nyangka mata kail tersangkut pada batu.

Justeru, teknik yang betul amat penting. Pemancing disarankan tidak membuat sentapan mengejut, sebaliknya mengarau tali sehingga tegang sebelum mengangkat joran secara konsisten.

Kawalan sistem drag yang sederhana serta memberi tekanan dengan mengangkat joran dari sisi juga dapat membantu memaksa pari keluar dari dasar.

Selain udang hidup, ikan pari saiz kasar turut diketahui gemar menyambar potongan ikan segar seperti tongkol, cencaru atau tamban.

Selain itu, ia gemar memakan umpan sotong katak, ketam nipah terutamanya di kawasan dasar pasir berlumpur yang kaya dengan sumber makanan.

Bagi kumpulan Fish Hunter, setiap sentapan di hujung joran bukan sekadar menguji kekuatan peralatan pancing, malah mengajar erti kesabaran, kerjasama dan rasa syukur terhadap rezeki yang dikurniakan alam.

Di benteng Pantai Senok, setiap pecutan pari mega menjadi cerita yang akan terus dikenang oleh mereka.

The post Lubuk pari mega di Benteng Senok appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved