Luka tersembunyi dalam rumah

LocalFamily & Parenting
23 Apr 2026 • 8:50 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Luka tersembunyi dalam rumah
Kebanyakan kes penderaan berlaku secara tersembunyi di dalam rumah.

KES dipercayai membabitkan penderaan kanak-kanak di Machang, Kelantan sekali lagi mengingatkan bahawa ancaman terhadap golongan itu boleh berlaku dalam institusi yang sepatutnya paling selamat iaitu keluarga.

Kes yang masih dalam siasatan pihak polis itu telah menahan reman pasangan suami isteri selama tujuh hari bermula susulan disyaki melakukan penderaan terhadap anak saudara lelaki berusia 10 tahun.

Menurut Ketua Polis Daerah Machang, Superintenden Azuhar Md Nor, pasangan itu ditahan semalam dan mereka dibawa ke Mahkamah Majistret Machang untuk proses reman yang dibenarkan hingga 27 April ini.

Kebanyakan kes penderaan berlaku secara tersembunyi di dalam rumah, menyebabkan mangsa menderita dalam diam tanpa bantuan segera.

Tindakan pegawai perubatan membuat laporan polis dalam kes berkenaan menunjukkan peranan penting petugas kesihatan sebagai barisan hadapan mengesan penderaan.

Situasi tersebut membuktikan bahawa perlindungan kanak-kanak memerlukan kerjasama pelbagai pihak termasuk masyarakat, bukan hanya bergantung kepada agensi tertentu.

Langkah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyediakan perlindungan sementara adalah penting bagi memastikan keselamatan segera mangsa.

Namun, cabaran sebenar adalah memastikan pemulihan emosi dan psikologi kanak-kanak yang terkesan akibat trauma penderaan.

Justeru, intervensi kaunseling secara berterusan amat diperlukan agar mangsa dapat membina semula keyakinan diri dan kehidupan normal.

Dalam masa sama, usaha menempatkan mangsa dalam jagaan waris yang sesuai perlu dilakukan dengan teliti bagi mengelakkan risiko berulang.

Akhirnya, masyarakat perlu lebih peka dan berani melaporkan sebarang tanda penderaan kerana keselamatan kanak-kanak adalah tanggungjawab bersama.