Masa depan kerja sosial di Malaysia

LocalOpinion
23 Apr 2026 • 9:30 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Masa depan kerja sosial di Malaysia
Malaysia kini berdepan peningkatan ketara dalam isu sosial seperti penderaan kanak-kanak, masalah kesihatan mental dan keganasan rumah tangga.

MALAYSIA kini berdepan peningkatan ketara dalam isu sosial seperti penderaan kanak-kanak, masalah kesihatan mental dan keganasan rumah tangga.

Statistik menunjukkan puluhan ribu kes dilaporkan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, sekali gus menuntut peranan lebih besar daripada pekerja sosial terlatih dalam melindungi golongan rentan.

Namun, nisbah pekerja sosial di negara ini masih rendah berbanding negara maju, menyebabkan beban tugas yang tinggi dan menjejaskan kualiti perkhidmatan sosial.

Kekurangan tenaga kerja dalam sektor awam khususnya di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menjadikan penglibatan sektor bukan kerajaan seperti NGO, swasta dan pengamal bebas satu keperluan mendesak.

Bagaimanapun, pekerja sosial di luar sektor kerajaan berdepan cabaran besar kerana ketiadaan rangka kerja perundangan yang jelas.

Mereka sering beroperasi tanpa garis panduan kompetensi, latihan yang diiktiraf atau sokongan profesional yang mencukupi, sekali gus mewujudkan ketidaktentuan dalam kerjaya dan kualiti perkhidmatan.

Sehubungan itu, sudah tiba masanya kerja sosial di Malaysia diangkat sebagai profesion bertauliah dan diiktiraf setaraf dengan bidang profesional lain.

Rang Undang-Undang Profesion Pekerja Sosial (RUU PKS) yang telah lama dirangka, perlu segera dibentangkan dan diluluskan.

RUU ini mencadangkan penubuhan Majlis Profesion Kerja Sosial yang akan mengawal selia pendaftaran, pensijilan, latihan dan pematuhan etika dalam kalangan pengamal.

Melalui sistem ini, hanya individu yang mempunyai kelayakan diiktiraf dibenarkan menggunakan gelaran 'pekerja sosial', sekali gus melindungi kepentingan masyarakat.

Majlis ini juga akan menetapkan piawaian profesional, mewajibkan pembangunan profesional berterusan serta menyediakan mekanisme pengendalian aduan dan salah laku secara sah.

Manakala Persatuan Pekerja Sosial Malaysia (MASW) berfungsi sebagai badan sukarela untuk advokasi dan rangkaian profesional.

Berbeza dengan MASW, majlis berkanun mempunyai kuasa undang-undang untuk mengawal selia semua pengamal dan mengambil tindakan disiplin jika perlu.

Bagi pengamal sektor swasta, pelaksanaan RUU ini amat penting kerana mereka kini beroperasi tanpa sistem akauntabiliti yang konsisten dan sering menghadapi kekangan kewangan untuk meningkatkan kemahiran.

Dengan pendaftaran wajib, semua pekerja sosial perlu memenuhi piawaian kompetensi dan mengikuti latihan yang diiktiraf, sekali gus meningkatkan profesionalisme sektor ini.

Dalam sektor awam pula, RUU ini memberi ruang kepada pegawai kerajaan untuk meningkatkan tahap profesional melalui pendaftaran sukarela.

Ia juga membuka peluang kerjasama antara agensi seperti Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Agensi Antidadah Kebangsaan dalam menyelaraskan piawaian kecekapan.

Pada masa sama, pembangunan piawaian kompetensi kebangsaan dijangka memperkukuh lagi bilangan pekerja sosial berkelayakan pada masa hadapan.

Selain itu, penguatkuasaan RUU ini akan membolehkan kerajaan mengumpul data yang lebih menyeluruh mengenai taburan pekerja sosial di seluruh negara.

Data ini penting untuk merancang intervensi yang lebih tepat, termasuk menyediakan insentif, biasiswa dan program latihan di kawasan yang kekurangan tenaga kerja.

Kesimpulannya, pengiktirafan kerja sosial melalui kerangka undang-undang yang kukuh bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan.

Walaupun RUU PKS bukan penyelesaian kepada semua isu, ia merupakan asas penting untuk membina sistem kerja sosial yang profesional, tersusun dan berkesan demi kesejahteraan masyarakat Malaysia.

*Dr Haniza Khalid ialah Penyelidik Kanan di Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial (SWRC), Universiti Malaya dan Profesor Datuk Norma Mansor ialah Pengarah SWRC