Lukisan skandal 1MDB akan dipamer setelah hampir setahun dibawa pulang

26 Nov 2026 • 10:05 AM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Empat karya seni yang dipulihkan dalam usaha mendapatkan semula aset berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), termasuk lukisan Pablo Picasso, dirancang untuk dipamerkan kepada umum dalam sebuah pameran khas anjuran Balai Seni Negara (BSN).

Image from: Lukisan skandal 1MDB akan dipamer setelah hampir setahun dibawa pulang

Namun, status pemilikan karya berkenaan masih menjadi antara perkara utama yang perlu diselesaikan. BSN mengesahkan bahawa persiapan kuratorial sedang disusun, sementara tarikh rasmi pameran belum ditetapkan.

Memetik laporan Berita Harian, pameran itu dijangka berlangsung seawal hujung tahun ini. Ia bakal memberi peluang kepada orang ramai melihat sendiri karya pelukis ternama dunia yang dibawa pulang ke Malaysia hasil usaha pemulihan aset 1MDB.

BSN memaklumkan status hak milik karya berkenaan dibincangkan dalam mesyuarat pada 21 Oktober lalu. Perbincangan itu membabitkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Kementerian Kewangan (MOF), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) dan Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN).

Menurut BSN, pasukan konservasi akan menjalankan pemeriksaan lanjut selepas ketulenan dan status pemilikan karya disahkan.

“Antara proses penting yang perlu diselesaikan terlebih dahulu ialah pengesahan ketulenan karya berkenaan serta penentuan status pemilikan sebenar sebelum pemeriksaan lanjut dapat dijalankan oleh pihak konservasi.

“Proses itu penting bagi memastikan setiap karya dapat diteliti dan dikendalikan mengikut prosedur serta piawaian pemeliharaan seni yang ditetapkan,” katanya.

Karya Picasso yang dibawa pulang ialah L’Écuyère et les clowns (1961). Tiga lagi ialah Composition (1953) oleh Joan Miró, Maison de rendez-vous, rue Saint-Rustique, Montmartre (1934) oleh Maurice Utrillo dan Étude pour femme couchée (1948) oleh Balthus.

Menurut laporan media pada April lalu, keempat-empat karya itu ditempatkan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya selepas dibawa pulang ke Malaysia. Pemulangannya hasil kerjasama antara agensi penguatkuasaan tempatan dengan rakan strategik antarabangsa dalam usaha mendapatkan semula aset berkaitan 1MDB.

BSN turut memaklumkan bahawa nilai pasaran karya berkenaan telah ditentukan oleh rumah lelong antarabangsa Christie’s dan Sotheby’s di Amerika Syarikat. Agensi itu turut menjalankan penilaiannya sendiri bagi merekodkan maklumat dan nilai setiap karya sebagai sebahagian daripada dokumentasi pameran.

Enam lagi maha karya pelukis terkenal dunia yang pernah dimiliki saksi kes 1MDB, Jasmine Loo, masih di bawah jagaan rumah lelong terkenal Christie’s dan hanya boleh diserahkan melalui perintah mahkamah di AS.

Setakat ini, Malaysia berjaya memulihkan aset berkaitan 1MDB berjumlah kira-kira RM31.2 bilion, iaitu bersamaan hampir 70 peratus daripada keseluruhan aset yang dikenal pasti.

Sumber: Berita Harian ()

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved