
LAGU Lumangad Oku Dika ciptaan dan nyanyian asal Ryenald Guntabid dinobatkan sebagai juara Anugerah Carta Lagu Artis Sabah (Clas16) kali ke-16 yang berlangsung di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sabah pada malam Sabtu.
Lagu berkenaan yang dipersembahkan oleh Feli Stacy Paimin pada malam anugerah itu membawa pulang hadiah wang tunai RM6,000.
Ryenald yang menulis, menggubah dan menyanyikan lagu berkenaan tidak dapat hadir kerana berada di Kuching bagi menghadiri Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25).
Ryenald yang turut dicalonkan dalam kategori Persembahan Vokal Lelaki Terbaik AIM25 menerusi lagu Gagal Setia menyifatkan kemenangan Clas16 itu cukup bermakna kerana ia menjadi pengiktirafan terhadap hasil karyanya di negeri kelahirannya sendiri.
“Kemenangan ini tidak kurang penting berbanding kemenangan saya sebelum ini kerana ia merupakan pengiktirafan dan penerimaan terhadap karya saya di tanah air sendiri, Sabah,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada juri Clas16 dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) atas pengiktirafan berkenaan selain memohon maaf kepada peminat yang mengharapkan kehadirannya untuk membuat persembahan pada malam anugerah itu.
“Saya yakin Feli Stacy memberikan persembahan yang sama hebat,” katanya.
Ryenald turut menyifatkan Clas sebagai platform penting bagi bakat tempatan Sabah dan berharap penganjuran acara berkenaan terus memberi lebih banyak peluang kepada artis tempatan menghasilkan serta mengetengahkan karya mereka.
Tempat kedua dimenangi lagu Bintang Menemani Bulan hasil tulisan dan gubahan Arddley Nicholas yang dipersembahkan oleh Loverlhine Ivy R Amin sekali gus membawa pulang RM4,000.
Arddley yang juga penyanyi asal lagu berkenaan turut tidak dapat hadir kerana menghadiri AIM25 di Kuching, yang menyaksikan beliau memenangi kategori Persembahan Vokal Lelaki Terbaik menerusi lagu Sandiwara Cinta.
Lagu Memori tulisan dan gubahan Jun serta dipersembahkan Felix Agus pula menduduki tempat ketiga, membawa pulang RM2,000.
Loverlhine turut memenangi Vokal Terbaik menerusi Bintang Menemani Bulan manakala Mixsimus Jumi memenangi Lirik Terbaik bagi lagu Semarakkan Harapan dan Qahirah Maisarah menerima Persembahan Terbaik menerusi Bahagia Tanpamu.
Setiap pemenang kategori berkenaan menerima RM1,000 manakala finalis lain masing-masing membawa pulang RM500.
Sebanyak sembilan lagu bersaing di peringkat akhir termasuk Semarakkan Harapan nyanyian Mixsimus, Bahagia Tanpamu ciptaan Edwan Abo dan dipersembahkan Qahirah, Lumangad Oku Dika oleh Ryenald yang dipersembahkan Fely serta Hati Bukan Mata hasil karya Narsisius Justin Misin.
Turut berentap ialah Yang Satu ciptaan Moses Bryan Clay dan Don dengan lirik oleh Don serta dipersembahkan Moses, Mungkin Hari Esok tulisan dan gubahan Clerence@Bob yang dipersembahkan Queennera dan Bintang Menemani Bulan karya Arddley yang dipersembahkan Loverlhine.
Melengkapkan senarai finalis ialah Memori karya Jun yang dipersembahkan Felix serta Mawar Merekah gubahan Nabil Syafiq dengan lirik oleh Ag Aidil Adzhar Bakar dan dipersembahkan Dang Mar Ezzah.
Bertemakan “Black Gold” anugerah berkenaan dianjurkan RTM Sabah menerusi Seksyen Hiburan dan Muzik, dengan para finalis diiringi Sabah RTM Combo.
Juara Clas15 Velvet Aduk tampil sebagai artis jemputan khas manakala Funz Crew membuka tirai persembahan. Acara itu dikendalikan DJ Edith dan DJ Noddy.
Clas yang dianjurkan sejak 2005 menjadi platform bagi penulis lagu, komposer dan penyanyi Sabah. Finalis musim ini dipilih berdasarkan persembahan mereka dalam carta mingguan termasuk sokongan serta undian pendengar.
Acara kemuncak itu turut disiarkan menerusi Sabahfm, platform media sosial rasmi RTM Sabah dan RTMKlik.

