LUNAS berjaya siapkan program baik pulih kapal KM Langkawi berusia 45 tahun

23 Jun 2025 • 11:08 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

LUNAS berjaya siapkan program baik pulih kapal KM Langkawi berusia 45 tahun

image is not available

23/06/2025 - 11:08

KM Langkawi berjaya melaksanakan program baik pulih oleh pihak LUNAS. Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 23 Jun - Kapal peronda luar pesisir (OPV) KM Langkawi kini kembali beroperasi setelah menjalani proses pembaikan refit di bawah seliaan Lumut Naval Shipyard Sdn. Bhd. (LUNAS).

KM Langkawi telah lengkap menjalani 'Harbour Acceptance Trial' (HAT) pada 20 Mac lalu dan 'Sea Acceptance Trial' (SAT) pada 28 Mei di sekitar perairan Lumut.

Walaupun telah berusia 45 tahun, KM Langkawi masih menjadi antara aset penting untuk melaksanakan operasi dan rondaan maritim.

Maritim Malaysia dalam kenyataan memaklumkan, kapal ini mula menjalani projek refit di Limbungan LUNAS dekat Lumut bermula 10 Mei lalu.

image is not available
Mazlan (dua dari kanan) menerima dokumen kapal KM Langkawi sebagai simbolik kapal siap dibaik pulih.

Menurut kenyataan itu, kapal berkenaan kini dilengkapi semula dengan sistem jentera, elektrik, navigasi, komunikasi dan peralatan keselamatan utama yang telah dibaik pulih sepenuhnya.

“Kapal sepanjang 75 meter (m), lebar 10.8m dan berat 1,300 tan yang membawa 70 kru ini boleh beroperasi selama 14 hari tanpa ulang bekal.

“Pengoperasian semula KM Langkawi ini dijangka mampu memperkukuhkan keberadaan Maritim Malaysia di perairan Laut China Selatan, khususnya di pantai timur Semenanjung Malaysia.

“Ia turut diyakini membantu membanteras jenayah rentas sempadan serta memberi pulangan nilai pelaburan (ROI) kepada kerajaan melalui peningkatan kecekapan operasi,” ujar kenyataan tersebut.

image is not available

image is not available

Dengan mencapai kelajuan maksimum 12 knot, KM Langkawi antara aset penting bagi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) untuk melaksanakan operasi.

Terdahulu majlis penyerahan rasmi kapal KM Langkawi telah disempurnakan oleh Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab di limbungan LUNAS.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Operasi LUNAS, Jal Shazidi Bassari dan pegawai memerintah KM Langkawi, Komander Maritim Eizanizan Muhammad.

KM Langkawi merupakan sebuah daripada dua kapal OPV kelas Langkawi milik Maritim Malaysia yang dahulu bekas kepunyaan TLDM.

image is not available
Kapal KM Langkawi semasa menjalani program baik pulih di limbungan LUNAS.

image is not available

Kapal-kapal kelas ini masih menjadi tulang belakang Maritim Malaysia di samping OPV baharu, KM Tun Fatimah.

Sebelum ini kapal kelas sama iaitu KM Banggi selesai menjalani proses penyelenggaraan dan naik taraf menyeluruh selama lebih dua tahun.

Projek bernilai kira-kira RM60 juta ini dijalankan oleh Shin Yang Shipyard Sdn. Bhd. di Miri, Sarawak.

Proses tersebut merangkumi penggantian enjin utama, pemulihan sistem elektrik dan elektronik, serta pemeriksaan menyeluruh struktur kapal. - DagangNews.com

standard