
Luncheon Talk Bersama YB Tuan Steven Sim Chee Keong – Dasar Sumber Manusia Dari Perspektif Belia
PUTRAJAYA, 30 April 2024 – YB Tuan Steven Sim Chee Keong, Menteri Sumber Manusia telah merasmikan Luncheon Talk – Dasar Sumber Manusia Dari Perspektif Belia di Menara PERKESO tadi.
Luncheon Talk yang julung kali diadakan berkongsi pendapat dan maklum balas berkenaan Dasar Sumber Manusia yang dihadiri oleh 120 orang belia yang terdiri alumni Yayasan Sukarelawan Siswa, wakil Majlis Belia Malaysia, dan pelajar-pelajar Universiti Awam serta Universiti Swasta.
Dalam majlis, perkara seperti pekerja sektor gig, kemahiran di peringkat Institut Pengajian Tinggi, ketidakpadanan pekerjaan dan pasaran kerja adalah antara maklum balas yang diterima oleh YB Tuan Steven Sim Chee Keong.
Beliau berkata KESUMA dengan penjenamaan dan iltizam baharu 3K iaitu Kebajikan, Kemahiran, Keberhasilan Pekerja mengambil kira perspektif belia kini yang berbeza di mana gaji bukan lagi tarikan utama, tetapi fleksibiliti dalam bekerja menjadi salah satu kriteria utama dalam pemilihan pekerjaan.

Beliau turut berkata waktu kerja anjal telah termaktub dalam Seksyen 60P dan 60Q, Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022, pekerja berhak meminta daripada majikan mereka bagi pengaturan kerja fleksibel untuk mengubah waktu bekerja, hari bekerja atau perubahan tempat bekerja tertakluk kepada Bahagian XII atau apa-apa yang terkandung dalam kontrak perkhidmatan sebagai respons salah seorang belia mengenai dasar pekerjaan di negara jiran yang bakal dilaksanakan pada 1 Disember tahun ini.
Belia perlu lebih melengkapkan diri dengan pelbagai pengetahuan dan kemahiran untuk mengharungi era globalisasi, memandangkan waktu kerja anjal telah mula diamalkan di seluruh dunia. Maka, majikan tidak terhad dengan pekerja yang bekerja dari rumah, dan majikan boleh merekrut mana-mana pekerja asing di mana gajinya lebih murah dan tidak perlu hadir ke pejabat secara fizikal, kata beliau.
Luncheon Talk yang menerima sambutan hangat dalam kalangan belia kali ini adalah salah satu program iringan Sambutan Hari Pekerja 2024. Pengisian ini berbeza dengan Sambutan Hari Pekerja sebelum ini, dan para belia berpeluang mendengar Rangka Kerja Dasar Sumber Manusia Negara 2024-2030.
The post Luncheon Talk Bersama YB Tuan Steven Sim Chee Keong – Dasar Sumber Manusia Dari Perspektif Belia appeared first on Siakap Keli.

