Luno, Halogen Capital dan Kenanga teroka penggunaan rumusan mata wang digital berasaskan ringgit

LocalBusiness & Finance
24 Sep 2026 • 12:00 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Luno, Halogen Capital dan Kenanga teroka penggunaan rumusan mata wang digital berasaskan ringgit Image from: Luno, Halogen Capital dan Kenanga teroka penggunaan rumusan mata wang digital berasaskan ringgit amree24/09/2026 - 12:00 (DARI kiri) Ismitz Matthew De Alwis, Hann Liew dan Scarlett Chai bergambar pada Luno Institutional Digital Asset Conference (LIDAC) 2026. Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 24 Sept — Luno Malaysia Sdn Bhd menjalin kerjasama dengan Halogen Capital Sdn Bhd dan Kenanga Investors Berhad untuk meneroka penggunaan rumusan mata wang digital berasaskan pautan kepada nilai ringgit dikenali sebagai UMYR.

 

Menurutnya dalam kenyataan bersama, langkah baharu itu membolehkan rumusan transaksi dana secara konvensional yang mengambil masa berpotensi dipendekkan menerusi penggunaan kaedah 'stablecoin' atau dipautkan nilai setara kepada ringgit. 

 

Kerjasama itu bertujuan menguji penggunaan UMYR sebagai instrumen rumusan bagi dana pasaran wang yang ditokenkan, termasuk memudahkan urus niaga langganan dan penebusan dana secara masa nyata melalui mekanisme 'Delivery-versus-Payment' (DvP).

 

"Inisiatif ini menghimpunkan tiga entiti dilesenkan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), iaitu Luno sebagai pengendali bursa aset digital, manakala Halogen Capital dan Kenanga Investors merupakan pemegang Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal (CMSL)," katanya.

 

Ujarnya, UMYR dicadangkan sebagai stablecoin yang akan disandarkan sepenuhnya kepada ringgit pada nisbah 1:1, dengan mata wang tempatan tersebut disimpan dalam akaun secara berasingan di Malaysia menerusi rakan perbankan yang dikawal selia.

 

Di bawah cadangan itu, Luno menerbitkan dan menebus UMYR berdasarkan ringgit yang diterima atau dibayar pada kadar 1:1, selain mengurus pendaftaran institusi, serta semakan rizab harian yang disokong pengesahan rizab oleh pihak ketiga bebas.

 

Halogen Capital dan Kenanga Investors pula bertindak sebagai pengurus dana bagi kes penggunaan tersebut dengan menerima UMYR untuk langganan dan penebusan dana pasaran wang token masing-masing, sementara kekal bertanggungjawab terhadap pengurusan dana.

 

"Usaha ini direka sebagai sistem tertutup antara peserta institusi perniagaan kepada perniagaan (B2B) yang disenarai putih, dengan pelanggan runcit tidak akan didaftarkan, terlibat atau dilayan sepanjang pelaksanaan inisiatif stablecoin itu," katanya.

 

Peralihan Fasa Ekosistem Aset Digital

Pengurus Negara Luno Malaysia, Scarlett Chai berkata, infrastruktur seperti UMYR penting ketika ekosistem aset digital beralih daripada fasa asas kepada keupayaan institusi, khususnya kecairan dan rumusan DvP masa nyata dalam rangka kerja kawal selia sedia ada.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Halogen Capital, Hann Liew berkata, rumusan transaksi ialah perkembangan dana token, manakala Ketua Pegawai Eksekutif Kenanga Investors, Datuk Ismitz Matthew De Alwis melihat inisiatif itu melengkapi usaha tokenisasi aset syarikat.

 

Dari sudut pasaran modal, cadangan tersebut berpotensi mempercepatkan rumusan langganan dan penebusan dana, di samping memperkenalkan mekanisme penyelesaian yang disokong rizab ringgit 1:1, semakan kesepadanan harian dan pengesahan secara bebas.

 

"Kerjasama itu hanya merekodkan hasrat komersial ketiga-tiga pihak tanpa bermaksud UMYR atau inisiatif itu diputuskan untuk dilancarkan, serta masih tertakluk perbincangan dengan pihak pengawal selia serta pemeteraian perjanjian muktamad," katanya.

 

Inisiatif itu diumumkan bersempena dengan Luno Institutional Digital Asset Conference (LIDAC) 2026 di Kuala Lumpur, yang menghimpunkan lebih 500 pengurus dana institusi, penasihat kewangan, pengawal selia, pemimpin pematuhan dan pemain Web3.

 

Persidangan tersebut diadakan bagi membincangkan perkembangan stablecoin, tokenisasi, aset dunia sebenar, penjagaan aset serta pematuhan dalam ekosistem aset digital Malaysia. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved