Isu keperluan pembiayaan tambahan DNB punca sektor telekomunikasi kekal berwaspada - Kenanga

LocalBusiness & Finance
15 Sep 2026 • 12:00 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Isu keperluan pembiayaan tambahan DNB punca sektor telekomunikasi kekal berwaspada - Kenanga Image from: Isu keperluan pembiayaan tambahan DNB punca sektor telekomunikasi kekal berwaspada - Kenanga amree15/09/2026 - 12:00 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 15 Sept — Ketidaktentuan mengenai keperluan pembiayaan tambahan kepada Digital Nasional Berhad (DNB) menjadi antara punca sektor telekomunikasi kekal berwaspada, dengan risiko lebih besar jika komitmen dana pemegang saham berterusan sehingga syarikat rangkaian 5G itu mencapai aliran tunai yang mampan, menurut Kenanga.

 

Firma penyelidikan itu berkata perkembangan kawal selia berkaitan model rangkaian 5G dwirangkaian turut terus membebani prospek pengendali rangkaian mudah alih (MNO), manakala pengiktirafan ekuiti kewangan DNB pada 4Q26 menjadi perkembangan penting untuk menentukan kesan sebenar terhadap pendapatan dan dividen operator yang terlibat.

 

Sehubungan itu, ia masih mengekalkan pandangan ‘neutral’ terhadap sektor telekomunikasi, dengan CelcomDigi Berhad menjadi pilihan utama menerusi saranan ‘outperform’ dan harga sasaran (TP) RM3.28, manakala Maxis Berhad diberi saranan ‘market perform’ dan TP RM3.70.

 

"Dari perspektif DNB, CelcomDigi, Maxis dan YTL Power International Berhad dijangka menyalurkan secara ekuiti pegangan masing-masing sebanyak 33.3% dalam DNB selepas proses penswastaan, menjadikan kedudukan kewangan syarikat itu tumpuan utama pelabur," kata Kenanga.

 

Justeru, firma itu mengunjurkan kerugian bersih DNB mengecil daripada RM1.2 bilion pada FY24 kepada RM750 juta bagi FY2025 hingga FY2026 dan RM500 juta pada FY27, yang diterjemahkan kepada anggaran kesan sekitar 8% terhadap pendapatan kedua-dua MNO pada FY27.

 

Setakat ini, setiap MNO telah memberikan komitmen kira-kira RM880 juta kepada DNB, tidak termasuk kos nominal pengambilalihan bekas pegangan daripada U Mobile sebelum itu.

 

sektor telekomunikasi-DagangNews2026

 

Bagaimanapun firma itu percaya kunci kira-kira MNO masih mampu menyerap pembiayaan tambahan tanpa menjejaskan dividen secara material, manakala tekanan berkaitan DNB dapat dikurangkan mulai 2027 apabila Maxis dan CelcomDigi memperoleh pendapatan daripada penyewaan elemen rangkaian kepada DNB serta menikmati keperluan perbelanjaan modal yang lebih rendah.

 

"Dalam pada itu, kami menyifatkan CelcomDigi mempunyai profil 'risiko-ganjaran' lebih menarik, dengan sahamnya pada harga RM2.72 diniagakan 21.3 kali ganda anggaran pendapatan FY27, kira-kira dua sisihan piawai di bawah purata sejarah 26.2 kali," jelas Kenanga.

 

Ia turut melihat ruang untuk penilaian semula saham syarikat itu apabila penjimatan kos selepas penggabungan belum diterjemahkan sepenuhnya dalam unjuran pendapatan, dengan penjimatan dijangka mencapai RM800 juta setahun pada FY27.

 

Menurutnya, penjimatan tersebut berpotensi meningkatkan margin keuntungan sebelum faedah dan cukai sebanyak enam mata peratusan berbanding tahap sebelum penggabungan, sekali gus membuka ruang kepada semakan naik hasil dan penilaian saham jika pelaksanaan lebih pantas daripada jangkaan.

 

Bagi Maxis, firma itu berkata saham syarikat berkenaan lebih hampir kepada nilai saksama (FV) selepas mencatat prestasi pendapatan yang kukuh, dengan dagangan 18.1 kali ganda anggaran hasil pada FY27 berbanding purata sejarah 19.7 kali.

 

"Walaupun ketahanan pendapatan kumpulan itu memberikan keyakinan lebih tinggi, prestasi tersebut sebahagian besarnya sudah dicerminkan dalam harga saham, menyebabkan ruang kesilapan menjadi lebih kecil," tambah Kenanga. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved