sarah10/11/2026 - 14:46 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 10 Nov - Luno menjadi bursa aset digital terkawal pertama di Malaysia yang menawarkan semua produk staking, iaitu kaedah memperoleh ganjaran melalui penyertaan aset kripto dalam operasi rangkaian blockchain, dengan pensijilan patuh Syariah.
Dalam kenyataan hari ini, Luno berkata, pencapaian itu menyusuli pensijilan empat lagi produk staking, iaitu Polkadot (DOT), Avalanche (AVAX), Cosmos (ATOM) dan NEAR Protocol (NEAR), selepas melalui penilaian bebas oleh Sharlife Sdn Bhd, firma penasihat Syariah yang berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).
Empat produk berkenaan melengkapkan tiga produk staking sedia ada, iaitu Ethereum (ETH), Solana (SOL) dan Cardano (ADA), yang memperoleh pensijilan antara Disember 2024 hingga Oktober 2025, menjadikan kesemua tujuh produk staking Luno kini mempunyai pengesahan patuh Syariah.
Selain itu, Sharlife turut mengesahkan produk Luno Large Cap Bundle yang menjejaki indeks CoinDesk 5 sebagai patuh Syariah, membolehkan pelanggan mendapat pendedahan kepada sehingga lima mata wang kripto terbesar berdasarkan nilai pasaran melalui satu portfolio yang diselaraskan secara automatik.

Lebih sejuta pelanggan Luno di Malaysia
Pengurus Negara Luno Malaysia, Scarlett Chai berkata, pensijilan menyeluruh itu memenuhi komitmen syarikat untuk memperluas pilihan pelaburan aset digital patuh Syariah sejak memperkenalkan produk staking Ethereum yang mendapat pengesahan berkenaan pada Disember 2024.
“Setiap dompet staking dan Large Cap Bundle kami kini mendapat pensijilan, menjadikan Luno bursa terkawal pertama di Malaysia yang membolehkan pelabur Muslim mengembangkan pegangan aset digital mereka secara pasif tanpa menjejaskan pegangan agama mereka,” katanya.
Beliau berkata, Luno yang mempunyai lebih sejuta pelanggan di Malaysia akan terus bekerjasama dengan penasihat Syariah bagi memperluas pensijilan kepada aset dan produk baharu, selaras dengan kedudukan Malaysia sebagai antara peneraju industri kewangan Islam.
Produk staking tawar ganjaran indikatif sehingga 11% setahun
Berdasarkan maklumat Luno, produk staking Cosmos menawarkan ganjaran indikatif sehingga 11% setahun, diikuti Polkadot dan NEAR Protocol masing-masing sehingga 7%, Solana sehingga 5%, Avalanche sehingga 4.5%, Ethereum sehingga 4% dan Cardano sehingga 3%. Bagaimanapun, kadar tersebut bukan pulangan yang dijamin dan pelaburan aset digital masih terdedah kepada turun naik harga serta risiko kerugian.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Sharlife, Mohamad Zulhaikal Mat Zukri berkata, penilaian Syariah merangkumi struktur kontrak, mekanisme operasi staking, proses pengesahan transaksi dan pengagihan ganjaran, selain kaedah pemilihan aset serta penyelarasan portfolio bagi Large Cap Bundle.
Sebelum ini, DagangNews.com melaporkan Luno memperkenalkan staking Ethereum pada Januari 2024 sebelum memperoleh pensijilan patuh Syariah pada Disember tahun sama, manakala produk staking Cosmos yang menawarkan ganjaran indikatif sehingga 11% setahun diperkenalkan pada Mei 2025. Pensijilan terbaharu itu melengkapkan keseluruhan rangkaian produk staking sedia ada Luno, namun pengesahan tersebut hanya terpakai kepada produk dan pengaturan khusus yang dinilai, bukan semua pelaburan mata wang kripto.- DagangNews.com


