sarah05/11/2026 - 11:55 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 5 Nov - Penyedia penyelesaian kejuruteraan elektrik bagi projek pusat data, Rosado Berhad memeterai perjanjian taja jamin dengan Malacca Securities Sdn Bhd dan Kenanga Investment Bank Berhad bagi cadangan tawaran awam permulaan (IPO) sehingga 994.5 juta saham menjelang penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Rosado, Datuk Lim Tiew Sin berkata, perjanjian taja jamin itu merupakan pencapaian penting dalam perjalanan korporat syarikat ketika bersiap sedia memasuki pasaran ekuiti bagi meneruskan fasa pertumbuhan seterusnya.
“Dengan akses kepada pasaran modal, kami berhasrat memperkukuh keupayaan, menyokong pengembangan perniagaan dan meneroka peluang dalam sektor infrastruktur pusat data. Kami kekal komited untuk memanfaatkan rekod prestasi kami, menyediakan penyelesaian kejuruteraan berkualiti dan mewujudkan nilai jangka panjang yang mampan kepada pemegang saham,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rosado mempunyai rekod pelaksanaan projek melebihi 28 tahun dan hubungan perniagaan dengan pelanggan pusat data berskala besar. Kumpulan itu menyediakan penyelesaian kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) yang merangkumi reka bentuk, perolehan, pembinaan, pemasangan, pengujian serta pentauliahan.
Syarikat turut menyediakan kerja awam dan struktur berkaitan projek kejuruteraan elektrik, termasuk kerja tanah, penggalian parit, pemasangan saluran kabel dan pembinaan asas, selain perkhidmatan penyelenggaraan pencawang elektrik serta infrastruktur pengagihan kuasa.
Sementara itu, Pengarah Urusan Malacca Securities, Lim Chia Wei berkata, pengkhususan Rosado dalam kerja kejuruteraan elektrik bagi projek pusat data meletakkan kumpulan dalam segmen penting rantaian nilai infrastruktur digital, yang memerlukan infrastruktur bekalan kuasa boleh dipercayai dan keupayaan pelaksanaan projek.
Menurut kenyataan, IPO itu merangkumi tawaran jualan sehingga 305.5 juta saham sedia ada dan terbitan awam sebanyak 689 juta saham baharu, mewakili sehingga 17.67% daripada jumlah saham diperbesarkan syarikat.
Daripada saham baharu tersebut, sebanyak 195 juta saham diperuntukkan kepada orang awam Malaysia menerusi pengundian, termasuk 97.5 juta saham yang dikhaskan kepada pelabur Bumiputera, manakala 38 juta saham lagi diperuntukkan kepada pengarah, pekerja dan individu yang menyumbang kepada kejayaan kumpulan.
Sebanyak 274 juta saham baharu pula akan ditawarkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih, manakala 182 juta saham diperuntukkan kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). Kenyataan itu turut memperincikan tawaran jualan sebanyak 305 juta saham sedia ada melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan MITI.- DagangNews.com






