hamden13/10/2026 - 09:30 KUALA LUMPUR 13 Okt – Golongan berpendapatan sederhana (M40) turut mendapat manfaat daripada Belanjawan 2027 menerusi peningkatan had pelepasan cukai individu kepada RM12,000 daripada RM9,000, selain bantuan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) Madani sebanyak RM100 yang akan disalurkan dua kali tahun depan kepada rakyat Malaysia dewasa yang layak.
Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican berkata, pendekatan kerajaan bukan sahaja tertumpu kepada pemberian bantuan tunai kepada golongan berpendapatan rendah, malah merangkumi langkah untuk mengurangkan beban kewangan pembayar cukai dan isi rumah berpendapatan sederhana.
Beliau berkata, peningkatan had pelepasan cukai individu itu merupakan pelarasan pertama dalam tempoh lebih sedekad, sekali gus membolehkan pembayar cukai yang layak mengurangkan pendapatan bercukai dan meningkatkan pendapatan boleh guna mereka.
“Di bawah Belanjawan 2027, had pelepasan cukai individu dinaikkan daripada RM9,000 kepada RM12,000, menandakan pelarasan pertama dalam tempoh lebih sedekad.
“Langkah ini membolehkan pembayar cukai yang layak mengurangkan pendapatan bercukai mereka, sekali gus meningkatkan pendapatan boleh guna,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi taklimat dalam talian selama kira-kira 90 minit mengenai isu semasa berkaitan Belanjawan 2027 yang dianjurkan Jabatan Penerangan.
Skop pelepasan cukai turut diperluas meliputi penjagaan selepas bersalin serta kelas atau tuisyen anak-anak dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), seni, bahasa serta agama, tertakluk kepada had dan syarat ditetapkan.
Bagi pelepasan cukai berkaitan sukan, skopnya kini merangkumi pembelian kasut sukan sehingga RM300.
Sementara itu, pelepasan cukai gaya hidup turut meliputi langganan perisian kecerdasan buatan (AI), perbelanjaan pengambilan haiwan peliharaan dari pusat berdaftar serta perkhidmatan veterinar berdaftar bagi vaksinasi dan pemandulan haiwan.
Johan berkata, individu yang tidak menerima bantuan tunai bersasar masih boleh menikmati manfaat daripada pelarasan cukai dan langkah kerajaan yang lain.
Selain itu, seramai 13 juta rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas yang bukan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR), termasuk golongan M40, akan menerima bantuan Sara Madani sebanyak RM100 sebanyak dua kali pada 2027, iaitu menjelang Aidilfitri dan sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-70.
“Bantuan ini bertujuan membantu rakyat menampung sebahagian perbelanjaan keperluan harian mereka,” katanya.
Kerajaan turut meneruskan bantuan Sara bulanan kepada penerima STR mengikut kategori kelayakan masing-masing.
Dalam sektor perumahan, pembeli rumah pertama layak menikmati pengecualian duti setem 100% bagi hartanah berharga sehingga RM500,000.
Bagi hartanah berharga melebihi RM500,000 sehingga RM750,000, pembeli rumah pertama akan menikmati pengecualian duti setem sebanyak 50% ke atas baki nilai hartanah yang melebihi RM500,000, tertakluk kepada syarat ditetapkan.
Johan berkata, langkah berkenaan mencerminkan pendekatan kerajaan untuk menangani tekanan kos sara hidup menerusi gabungan bantuan langsung, pelepasan cukai dan sokongan pemilikan rumah.
Pada Jumaat lalu, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2027 bertemakan “Menjangkau Cakerawala, Berpaksikan Nilai”, dengan peruntukan kerajaan sebanyak RM459.8 bilion.
Peruntukan itu ditambah dengan pelaburan RM25 bilion daripada syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), pelaburan awam-swasta sebanyak RM11 bilion serta pelaburan RM14.2 bilion daripada badan berkanun Persekutuan dan syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan).
Ini menjadikan jumlah keseluruhan Belanjawan 2027 sebanyak RM510 bilion, selaras dengan penerusan dasar fiskal mengembang.
Belanjawan Madani kelima itu bertujuan menterjemahkan pertumbuhan ekonomi yang berdaya tahan kepada manfaat nyata kepada rakyat melalui peningkatan gaji, bantuan bersasar yang lebih cekap, disiplin fiskal yang lebih kukuh serta langkah tegas ke arah pembangunan industri bernilai tinggi. - BERNAMA






