
KUALA LUMPUR – Nampaknya ‘perang’ netizen Malaysia dan Korea Selatan masih belum reda apabila semakin banyak hantaran di Threads mengungkit kembali sejarah hubungan dua negara.
Menerusi satu perkongsian oleh pengguna @evryone_lia di bawah tajuk SEAblings, beliau mendedahkan tentang sebuah jambatan di Korea Selatan yang dikenali sebagai “Ma-raysia-gyo”.
Jambatan “Ma-raysia-gyo” Jadi Bualan
Menurut hantaran itu, jambatan berkenaan dibina sekitar tahun 1963 ketika Korea Selatan masih belum mencapai tahap pembangunan seperti hari ini.
Difahamkan, Malaysia ketika itu menyumbangkan kira-kira RM28,000 bagi membantu pembinaan jambatan berkenaan untuk kemudahan penduduk menyeberangi sungai serta menghubungkan kawasan pertanian.
Disebabkan sumbangan tersebut, jambatan itu dinamakan sebagai ‘Jambatan Malaysia’ atau dalam sebutan Korea, “Ma-raysia-gyo”.
Perkongsian itu turut menyatakan bahawa ketika era berkenaan, ekonomi Malaysia lebih kukuh dan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara berada dalam keadaan baik.
Namun, apa yang mencetuskan perdebatan adalah apabila ada pihak membandingkan kisah jambatan itu dengan pembinaan Menara Berkembar Petronas.
Seorang netizen menyindir:
“Lawaknya diorang bandingkan ni dengan menara Petronas tu. Like ni kita tolong bina dan menara Petronas tu diorang dibayar untuk bina.”
Seorang lagi turut membalas:
“Kan. Tak boleh banding. Menara Petronas kita bagi dia job, takkan tak faham. Yang ni kita bagi sedekah.”
Dalam masa sama, seorang pengguna lain mendakwa bapanya pernah menceritakan bahawa Korea menghantar pegawai mereka ke Malaysia untuk mempelajari kaedah pentadbiran dan pembangunan negara.
Saemaul Undong & Inspirasi Dari Malaysia?
Sementara itu, menerusi satu lagi hantaran oleh @puntumsaadon di bawah tajuk Korea, pengguna berkenaan mendakwa kejayaan ekonomi Korea Selatan hari ini ada kaitan dengan idea pembangunan luar bandar Malaysia.
Menurutnya, sekitar tahun 1962, seorang pegawai Korea dikatakan datang ke Malaya dan mengkaji sistem “Buku Merah” yang diperkenalkan oleh Tun Abdul Razak.
Sistem berkenaan digunakan bagi memantau dan menyelaras projek pembangunan luar bandar secara tersusun melalui Bilik Gerakan.
Dakwa hantaran itu, idea tersebut kemudiannya diadaptasi oleh Korea menjadi gerakan Saemaul Undong pada tahun 1970 yang akhirnya membantu mengubah negara itu daripada miskin kepada antara gergasi ekonomi Asia.
“Tak payah nak kerek sangat,” tulisnya sinis, merujuk kepada segelintir netizen Korea yang didakwa memperlekeh Malaysia.
Hyundai, Penang Bridge & Lee Myung-bak
Hantaran sama turut mengimbas kembali pembinaan Jambatan Pulau Pinang pada awal 1980-an.
Ketika itu, syarikat Korea, Hyundai Engineering & Construction dilaporkan menyertai bidaan walaupun dianggap ‘underdog’.
Difahamkan, syarikat tersebut menawarkan harga yang kompetitif dan akhirnya diberi peluang melaksanakan projek berkenaan ketika era pentadbiran Mahathir Mohamad.
Individu yang mengetuai projek tersebut ialah Lee Myung-bak yang ketika itu merupakan eksekutif kanan Hyundai sebelum menceburi politik dan seterusnya menjadi Presiden Korea Selatan dari 2008 hingga 2013.
Projek bernilai sekitar RM850 juta itu dilaporkan siap dengan kos lebih rendah, sekali gus sering dijadikan contoh kerjasama erat Malaysia–Korea pada waktu berkenaan.
Netizen Seru ‘Respect’, Bukan Taksub
Perkongsian-perkongsian tersebut rata-rata menekankan bahawa hubungan Malaysia dan Korea Selatan pernah melalui fasa saling membantu dan bekerjasama.
Malah, ada yang menyifatkan Malaysia pernah menjadi ‘abang besar’ ketika Korea berada dalam fasa membangun.
Bagaimanapun, di sebalik nada sindiran dan emosi netizen, sejarah membuktikan kedua-dua negara pernah menjalin kerjasama erat dalam aspek pembangunan, ekonomi dan diplomasi.
Apa pun, bagi kebanyakan warganet, yang dituntut bukanlah pujian atau sanjungan, sebaliknya rasa hormat terhadap sejarah yang pernah dikongsi bersama. – The Malaysian Update
The post “Ma-raysia-gyo”, Saemaul Undong & Penang Bridge: Netizen Ungkit Sejarah Hubungan Malaysia–Korea Selatan appeared first on The Malaysian Update.

