Netizen Korea Hina Kuasa Beli Malaysia, Warganet Tempatan ‘Tapau’ Balik — Dapat Sokongan Padu Negara Asia Tenggara

14 Feb 2026 • 10:14 AM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

KUALA LUMPUR – Tular di media sosial apabila seorang netizen Korea Selatan menggunakan nama pengguna @liljoonkim87 didakwa memuat naik kenyataan yang memperlekeh rakyat Malaysia berhubung isu kuasa beli dan taraf ekonomi.

Dalam tulisannya, individu berkenaan mendakwa rakyat Malaysia kononnya tidak mampu membayar yuran keahlian tahunan Costco sebanyak USD70, malah menyindir pendapatan bulanan rakyat negara ini yang menurutnya sekitar USD700.

Beliau turut membandingkan pendapatan bulanan beberapa negara seperti Korea Selatan, Jepun, Taiwan dan Australia sebelum menutup kenyataannya dengan ayat sinis:

“Malaysian $700 – HERE YOU ARE in front of Merdeka 118.”

Kenyataan tersebut mencetuskan kemarahan ramai netizen Malaysia yang menyifatkannya sebagai angkuh serta berbaur penghinaan.

Netizen Malaysia Balas Dengan Sindiran ‘Flex’

Tidak menunggu lama, seorang pengguna media sosial tempatan memuat naik video memaparkan deretan kereta mewah di Malaysia sebagai respon balas, dengan kapsyen berbunyi:

“Yeahh we poor LOL ”

Rata-rata warganet turut membalas dengan sindiran pedas, mempersoalkan mengapa kewujudan Costco dijadikan kayu ukur kekayaan sesebuah negara.

Antara komen yang mencuri perhatian:

“Costco is your benchmark? Ahahaha… in Malaysia Costco is comparable to Econsave.”

“‘Show me you’re low class without telling me you’re low class.’”

Isu Konsert DAY6 Jadi Punca Ketegangan

Difahamkan, ‘perang’ maya antara segelintir peminat Malaysia dan Korea Selatan ini sebenarnya bermula daripada isu peraturan konsert melibatkan kumpulan K-pop, DAY6.

Konflik tercetus apabila beberapa peminat dari Korea Selatan yang didakwa merupakan ‘fansite masters’ dikesan membawa masuk kamera lensa panjang yang dilarang keras oleh pihak penganjur konsert di Malaysia.

Tindakan tersebut menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan peminat tempatan yang mematuhi peraturan. Identiti individu yang didakwa melanggar peraturan itu kemudiannya didedahkan oleh peminat tempatan, sebelum keadaan bertukar tegang di platform X.

Situasi menjadi lebih serius apabila segelintir K-fans dilaporkan menggunakan elemen estetik seperti sawah padi bagi melabel peminat Asia Tenggara (SEA) sebagai “miskin” dan “ketinggalan zaman”.

Netizen SEA Bangkit Pertahankan Maruah Rantau

Oleh itu, netizen dari Asia Tenggara termasuk Malaysia, Indonesia dan Filipina sepakat membidas segala tohmahan serta cacian berbaur rasis yang dilontarkan oleh segelintir K-Netz.

Gelombang solidariti itu menyaksikan peminat SEA tidak lagi berdiam diri, sebaliknya bangkit mempertahankan maruah rantau ini daripada terus dijadikan bahan sindiran.

Ironinya, peminat antarabangsa khususnya dari Asia Tenggara merupakan antara penyumbang terbesar kepada jualan album fizikal, angka penstriman digital serta sokongan konsert artis K-pop di luar Korea Selatan.

Namun begitu, masih wujud segelintir K-Netz yang bersikap bongkak dan memandang rendah terhadap sumbangan serta sokongan peminat dari rantau ini.

Bagaimanapun, keberanian mereka dilihat tidak bertahan lama apabila rata-rata akaun yang terlibat mula menutup ruangan komen selepas menerima kecaman bertubi-tubi dari tiga penjuru, Malaysia, Indonesia dan Filipina.

Apa yang pada awalnya hanya isu pematuhan peraturan konsert akhirnya bertukar menjadi pertelingkahan melibatkan sentimen kenegaraan dan stereotaip melampau, sekali gus memperlihatkan bagaimana media sosial boleh menjadi medan solidariti serantau apabila maruah bersama dirasakan tercabar. – The Malaysian Update

The post Netizen Korea Hina Kuasa Beli Malaysia, Warganet Tempatan ‘Tapau’ Balik — Dapat Sokongan Padu Negara Asia Tenggara appeared first on The Malaysian Update.