
PETALING JAYA – Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak boleh dilihat sebagai urusan Sabah dan Sarawak semata-mata, sebaliknya merupakan waad atau ikrar nasional yang perlu dipikul secara bersama.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia dibina atas satu waad nasional yang merangkumi ikrar, janji dan muafakat antara pimpinan serta rakyat bagi mempertahankan Persekutuan yang berdaulat, menegakkan keadilan dan menjamin kesejahteraan untuk semua.
Menurut beliau, waad berkenaan perlu terus dipegang teguh dan dilaksanakan sebagai amanah bersama.
“MA63 adalah waad serta tanggungjawab nasional dan mesti dijawab secara bersama. Kita sudah berjanji dan menjadi tanggungjawab generasi hari ini untuk menterjemahkan serta memperkotakan janji yang menjadi asas pembentukan Malaysia,” katanya dalam kenyataan di media sosial.
Anwar berkata, majoriti rakyat Malaysia terus meletakkan kepentingan kesatuan dan perpaduan yang utuh mengatasi kepentingan kelompok.
Katanya, perbezaan pandangan boleh dibicarakan dalam ruang demokrasi, namun ruang berkenaan perlu dimanfaatkan untuk membina dan memperkukuh negara, bukannya merobohkan ikatan yang telah dibina sekian lama.
“Jangan kita izinkan seruan berunsur pemencilan, kesempitan atau kepuakan mengatasi kepentingan negara.
“Ini bukan soal Semenanjung, Sabah atau Sarawak secara terpisah. Naratif kita adalah naratif nasional, kepentingan kita adalah kepentingan bersama dan kemajuan Sabah dan Sarawak adalah kemajuan Malaysia seluruhnya,” katanya.
Beliau menegaskan semangat Malaysia perlu terus dihidupkan bukan sekadar melalui ungkapan, sebaliknya diterjemahkan menerusi ikhtiar dan tindakan yang menjamin keadilan, kesejahteraan serta kemakmuran seluruh rakyat.-KOSMO! ONLINE.
The post MA63 bukan urusan Sabah, Sarawak semata-mata – Anwar appeared first on Kosmo Online.




