
PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini mengumumkan beberapa ikhtiar penting demi meringankan beban rakyat serta memperkukuh hubungan antara Kerajaan Persekutuan dengan Sabah dan Sarawak.
Anwar berkata pengumuman itu dibuat ketika beliau menyampaikan Amanat Hari Malaysia sempena sambutan rasmi Hari Malaysia di Kuching, malam ini.
“Antaranya termasuk hak pemberian khas untuk negeri Sarawak, penambahbaikan ikhtiar Budi Diesel untuk rakyat serta Bantuan Khas Pembelian Tiket Penerbangan (RM500) secara sekali beri (one-off) kepada setiap pelajar baharu institusi pengajian tinggi awam yang layak.
“Ikhtiar ini turut memaknai semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebagai waad nasional yang mesti terus diterjemahkan melalui penghormatan terhadap hak serta kepentingan Sabah dan Sarawak dalam kerangka Persekutuan,” katanya menerusi media sosial.
Tambah Anwar, beliau dan seluruh pasukan Kerajaan Madani akan terus bekerja keras memastikan setiap kemajuan negara diterjemahkan kepada manfaat yang dirasai rakyat.
“Agar Sabah, Sarawak dan Semenanjung terus melangkah bersama menuju kehidupan yang lebih sejahtera dan bermaruah,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post PM umum bantuan khas tiket penerbangan RM500, tambah baik Budi Diesel appeared first on Kosmo Online.






