MA63: Kejayaan Tunai 11 Tuntutan Beri Sinar Untuk Rakyat Borneo

LocalPolitics
21 Feb 2025 • 8:41 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
MA63 - Gambar Jesselton Times

KUALA LUMPUR - Sejak berdekad lamanya, peranan Sabah dan Sarawak dalam membentuk Malaysia sebagai sebuah negara tidak dapat dinafikan. 

Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang turut melibatkan dua negeri terbabit membuktikan betapa Sabah (ketika itu dikenali sebagai Borneo Utara) serta Sarawak adalah bahagian penting negara dan sehingga kini kedudukan mereka tidak pernah berubah. 

Menggariskan 21 perkara sebagai akujanji untuk manfaat kedua-dua negeri, MA63 disusuli dengan lampiran yang menjadi asas kepada Akta 26/1963 untuk meminda perlembagaan sedia ada iaitu Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu kepada Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

image is not available
Majlis menandatangani MA63 di London - Gambar PMO

Laman Jabatan Perdana Menteri (JPM) dipetik sebagai berkata, setiap satu daripada kesemua intipati tersebut berfungsi sebagai perkara dan arah tuju untuk diikuti, dipatuhi dan ditunaikan oleh semua pihak yang telah menandatangani perjanjian tersebut. 

Antara lain, ia menyatakan tanggungjawab kerajaan United Kingdom untuk menyerahkan kepada Ratu, perintah-perintah bagi membolehkan Perlembagaan negeri-negeri Sabah, Sarawak dan Singapura berkuatkuasa mengikut lampiran-lampiran perlembagaan setiap negeri.

Turut digariskan ialah kewajipan Tanah Melayu mendapatkan penggubalan Akta oleh Parlimen bagi meminda skop imigresen, untuk kemasukan ke Sabah dan Sarawak. 

Janji Tertangguh

Dekad yang berlalu bagaimanapun menyaksikan kesemua intipati berkenaan gagal ditunaikan. 

Selepas 61 tahun, MA63 seolah dilupakan, malah sebahagian besar daripada keistimewaan dan hak kedua-dua negeri telah terhakis  walaupun termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Senario ini pada dasarnya disumbangkan oleh pelbagai faktor, antaranya pelaksanaan darurat di seluruh negara gara-gara agenda komunis yang menjadi barah ketika itu.

image is not available
Dr Mahathir Mohamad - Gambar fail

Perubahan pucuk pimpinan negara pada 2018 menyaksikan bagaimana Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan komitmen kerajaan untuk "mengembalikan status rakan sekutu kepada Sabah dan Sarawak" sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Malaysia 1963.

Komitmen yang dinyatakan ketika berucap sempena Hari Malaysia itu selaras dengan prinsip dan semangat terkandung dalam MA63.

Sinar Baharu

Beberapa tahun berlalu, 11 daripada kesemua 21 tuntutan berkenaan akhirnya berjaya dilaksanakan, lantas menjadi hadiah paling berharga buat rakyat Borneo. 

Keputusan Perdana Menteri Ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyenaraikan Datuk Seri Fadillah Yusof sebagai Timbalan Perdana Menteri II membuktikan iltizam beliau untuk menyelesaikan segala isu berkaitan MA63. 

image is not available
Anwar Ibrahim sebaik menduduki PMO berikrar untuk menunaikan janji yang terkandung dalam MA63 - Gambar PMO

Beliau juga sebaik menduduki Pejabat Perdana Menteri (PMO) mengarahkan Fadillah mengetuai pasukan khas untuk menangani perkara berkenaan secara holistik dan agresif.

Hasilnya, ikrar kerajaan Madani untuk mengotakan janji mengembalikan hak Sarawak dan Sabah yang terhakis sebelum ini berjaya ditunaikan. 

Di Landasan Yang Betul

Pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Suffian Mansor dipetik sebagai berkata, kejayaan itu adalah bukti bahawa Malaysia kini berada di landasan yang betul. 

Jelas beliau, ia juga memainkan peranan sebagai petunjuk kemajuan yang amat ketara kerana pentadbiran kerajaan Madani nyata berhasil memberikan manfaat besar kepada rakyat Borneo. 

“Kawal selia bekalan gas misalnya, ialah penyelesaian paling signifikan bagi Sarawak, memandangkan gas merupakan hasil yang dikeluarkan dari negeri itu dan bertepatan dengan hasrat negeri berkenaan untuk mempertahankan hak mengawal hasil buminya sendiri.

"Ia juga dapat menjana pendapatan Sarawak untuk pembangunan dan kesejahteraan rakyatnya. Usaha menemui pencapaian ini juga singkat dan memberikan kedua-dua negeri ini kedudukan perkongsian bersama dengan Semenanjung Malaysia," katanya seperti dilaporkan Bernama. 

image is not available
Fadillah Yusof - Gambar fail

Pada 12 September tahun lalu, Fadillah sejurus mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) di Kota Kinabalu mengumumkan, 11 tuntutan di bawah platform rundingan MA63 telah berjaya diselesaikan, dengan tujuh daripada tuntutan itu diselesaikan di bawah kerajaan pentadbiran Anwar.  

Katanya, ia meliputi peralihab Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan Sarawak sebagai Jabatan Teknik, penyerahan kuasa kawal selia bekalan gas, serta pindaan Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) 1995 bagi melantik wakil Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak sebagai anggota tetap LHDN.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal MTPMA63 berkata, penyelesaian tersebut turut merangkumi tuntutan berkaitan pentadbiran badan kehakiman di Sabah dan Sarawak serta garis panduan khas penyerahan semula tanah dirizabkan bagi maksud Persekutuan di Sabah dan Sarawak. 

Impak Positif

Tidak dinafikan, kejayaan kerajaan Madani menunaikan 11 intipati MA63 adalah impak positif yang membantu meningkatkan keyakinan rakyat, selepas sekian lama mereka kecewa dengan sarkas politik negara. 

Bernama dalam wawancara bersama Pensyarah Kanan Jabatan Sains Sosial dan Pengurusan, Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) Dr Abdul Hadi Samsi melaporkan, kuasa autonomi yang telah dikembalikan membolehkan kerajaan Sarawak dan Sabah untuk mengurus dan mentadbir mengikut acuan mereka sendiri tanpa dipengaruhi Kerajaan Persekutuan.

Kuasa ini jelasnya, membolehkan kedua-dua negeri menambah peruntukan bagi membangunkan keperluan asas yang lebih baik, sekali gus membuka ruang untuk rakyat menikmati kemudahan asas yang berkualiti.

Dana daripada kerajaan Persekutuan juga tambah Abdul Hadi, dapat disalurkan secara adil dan setimpal dengan saiz geografi dan populasi Sarawak dan Sabah, bagi pembangunan ekonomi yang lebih mampan. - Getaran, 21 Februari 2025