LIPIS – Seorang pemancing tidak menyangka hobinya membawa tuah apabila berjaya memperoleh empat ekor kenerak atau lebih dikenali sebagai ikan askar dalam tempoh kurang sejam di Sungai Jelai di sini.
Mohamad Rais Mohd Rafi, 26, berkata, hasil tangkapan kira-kira 13 kilogram itu diperoleh selepas dia memancing di sebuah lubuk berhampiran Kampung Jeram Landak minggu lalu.
Menurutnya, pada ketika itu dia ke sungai seorang diri dalam keadaan air yang keruh di kawasan lubuk berkenaan sebelum melepaskan pancing.
“Kalau ikan ada, memang akan cepat dapat dan dalam kira-kira 30 minit saya dapat seekor, selepas 10 minit kemudian naik lagi seekor sampai cukup empat ekor.
"Bila tengok hasil ikan ini depan mata, memang melompat dalam bot kerana terlalu seronok.
"Bak orang kata macam dapat 'jackpot', begitulah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.
Bercerita lanjut, Mohamad Rais yang bekerja sendiri berkata, ikan kenerak atau nama saintifiknya, Bagarius bersifat galak dan lazimnya menyambar umpan hidup seperti cengkerik yang digunakan pemancing.
**media[3499943]**
Dia mengakui penggunaan umpan cengkerik didapati berkesan menarik perhatian kumpulan ikan berkenaan ketika berada di kawasan lubuk tersebut.
"Saya tak sangka umpan cengkerik cepat mendapat sambaran sehingga beberapa ekor dapat dinaikkan berturut-turut.
"Mungkin juga faktor keadaan air sungai ketika itu yang menyebabkan ikan lebih aktif di kawasan alur dan ‘olak’ air, jadi secara tidak langsung ia menjadi rezeki kepada saya pada hari itu," ujarnya dengan nada gembira.
Kongsinya lagi, tarikan ikan tersebut tidak terlalu kuat sehingga menyebabkan joran melentur kuat, namun sambaran yang konsisten tetap memberikan kepuasan.
“Mungkin kerana saiznya tidak terlalu besar, tarikan pada joran tidak begitu kuat, tetapi kelajuan ia menyambar umpan cukup membuatkan saya teruja,” katanya yang pernah menaikkan ikan spesies sama seberat 22 kg.
Mohamad Rais memaklumkan, selain ikan kenerak, dia sudah beberapa kali memperoleh spesies lain seperti begahak dan patin buah yang dianggap antara tangkapan ‘rare’ di sungai berkenaan.
Dia bagaimanapun berkata, ikan kenerak mempunyai isi yang pejal dan rasa sedikit manis.
“Jika dimasak ketika masih segar, iaitu sejurus ditangkap, isinya lebih sedap dan tidak berbau hanyir, sebab itu ramai yang mencarinya,” jelasnya.
Menyentuh mengenai harga, Mohamad Rais memberitahu kesukaran mendapat tangkapan menjadikan ikan tersebut dijual pada harga sekitar RM40 hingga RM45 sekilogram kepada peniaga makanan di kawasan berkenaan.
“Ikan ini memang ada permintaan. Kalau dapat, biasanya terus ada yang membeli,” katanya.
