
INSIDEN terjatuh hingga patah pinggul yang menimpa bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini mengejutkan orang ramai.
Tiga bulan berlalu, bekas pemimpin nombor satu Malaysia itu mendedahkan kronologi dilalui dalam insiden pada 6 Januari itu.
Menerusi video tular, Tun M yang genap 100 tahun pada 10 Julai tahun lalu mendedahkan insiden iitu berlaku di luar jangkaan ketika beliau sedang bersenam.
"Saya sedang berlatih berjalan, tiba-tiba kaki kanan saya hilang kuasa (kawalan). Bila hilang kuasa, saya jatuh.
"Bila jatuh tu, ada keretakan di tulang pinggul dan sendi. Saya juga luka sikit di kepala, tapi amat sakit," ujarnya.

Tun M juga sempat berkongsi rawatan yang diterima selepas dikejarkan ke Institut Jantung Negara (IJN).
"Saya dibawa ke IJN, mereka cuba kurangkan sakit tapi susah. Susah nak kurangkan. Rasa cukup sakit.
"Perlahan-lahan beberapa hari selepas baru kurang sakit, tapi sakit masih ada lagi,” tuturnya.
Dalam pada itu, bapa kepda empat cahaya mata itu turut menjelaskan, terdapat sendi di antara tulang kaki dengan pinggang dan bahagian itu yang telah patah.
Bagaimanapun, selepas tiga bulan, Tun M memaklumkan keadaannya semakin pulih dan mampu untuk berdiri kembali.
Pun begitu beliau berkata, sukar untuk mengawal pergerakan kaki buat masa ini.
"Sekarang setelah tiga bulan berlalu, kaki saya sudah sembuh dan boleh berdiri. Tapi tak boleh nak kawal kaki, macam tak ada kaki," ujarnya.
Imbas kembali, Tun M mula menerima rawatan di IJN selepas dilaporkan terjatuh di kediamannya sehingga mengalami patah tulang pinggul pada 6 Januari lalu ketika sedang brisk walk.
Terdahulu, media dimaklumkan pemimpin ulung itu dinasihatkan untuk menjalani rawatan jalani fisioterapi tanpa bedah dan akan melalui tempoh pemulihan panjang atas faktor usia.




