
Semalam hanya MacBook Air M5, MacBook Pro M5 dan dua Studio Display dilancarkan. Ia membuka persoalan di mana MacBook baharu mampu milik yang dikhabarkan menggunakan cip iPhone? Ia besar kemungkinan dilancarkan malam ini dan laman web Apple secara tidak sengaja mendedahkan ia akan menggunakan nama MacBook Neo.

Ini ditemukan oleh @aaronp613 dan ia adalah nama yang tidak pernah digunakan oleh Apple sebelum ini. Sesuai dengan nama Neo, MacBook Neo ialah komputer riba kelas baharu dengan cip yang selama ini digunakan pada iPhone. Ia akan memudahkan pengguna membezakan antara tiga kelas MacBook yang akan ditawarkan kelak.
MacBook Air dipasarkan sebagai komputer riba melakukan tugasan ringan tetapi masih dilengkapi kemampuan menjalankan aplikasi lazim. MacBook Pro pula untuk kegunaan profesional seperti penghasil kandungan, animator 3D dan penyelidik AI.
MacBook Neo mungkin akan diklasifikasikan sebagai komputer riba tugasan ringan bagi mereka yang ingin berjinak-jinak dengan MacBook sama seperti iPhone 17e yang baru sahaja dikemaskini dua hari lalu. Ia juga akan mempunyai imej lebih santai dengan ura-ura mengatakan ia ditawarkan dalam pelbagai warna ceria.

