MACP dapatkan penjelasan mahkamah berhubung bidang kuasa Tribunal Hak Cipta

LocalMusic
23 Sep 2025 • 4:54 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

BADAN Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) menegaskan bahawa perintah Tribunal Hak Cipta dalam kes membabitkan penyanyi-penulis lagu kelahiran Syria Abdulkarim Al Ali adalah selaras dengan amalan serta prosedur sedia ada badan itu.

Begitu pun MACP dalam kenyataan pada Jumaat berkata ia turut memohon penjelasan daripada mahkamah berhubung bidang kuasa undang-undang Tribunal itu untuk mendengar, memutuskan dan mengeluarkan perintah terbabit.

MACP berkata sehingga keputusan muktamad dibuat ia akan mengekalkan hak undang-undangnya serta meneruskan proses perundangan secara “beritikad baik”.

Menurut badan itu antara perintah Tribunal termasuk keperluan menyediakan laporan royalti terperinci serta memastikan agihan tepat pada masanya yang sememangnya sebahagian daripada operasi standard mereka.

Ia berkata semua ahli berhak menerima pelarasan royalti sekiranya berlaku kesilapan pengecaman karya selain diberikan laporan agihan yang memaparkan pecahan pendapatan daripada pelbagai sumber seperti persembahan, penyiaran dan platform digital.

“Setiap tahun MACP melaksanakan tujuh kitaran agihan manakala laporan kewangan diaudit secara tahunan bagi memastikan ketelusan.

“Sebarang dakwaan bahawa MACP gagal menyalurkan royalti atau menahan pembayaran tanpa alasan munasabah daripada Abdulkarim adalah tidak berasas dan mengelirukan. Semua royalti hasil penggunaan karya penulis telah diproses dan/atau dibayar sepenuhnya.

“Kami menghargai inisiatif Tribunal dalam menetapkan piawaian minimum bagi pentadbiran Organisasi Pengurusan Kolektif (CMO) namun perkara tersebut seharusnya berada dalam skop bidang kuasa mereka,” menurut kenyataan itu.

Sebagai ahli Konfederasi Antarabangsa Persatuan Pengarang dan Komposer (CISAC), MACP menegaskan pengagihan mereka berpandukan peraturan profesional dan resolusi mengikat CISAC.

Bulan lalu Tribunal Hak Cipta mengarahkan MACP untuk mengira dan membayar royalti kepada Abdulkarim yang juga penulis bersama lagu dwibahasa Arab-Melayu Casablanca selain menyelaras pembayaran kepada rakan komposer, Daqmie dan Wan Salleh.