
ALOR SETAR: Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) mempergiat pemantauan dan penyelarasan bagi mempercepatkan bekalan baja sebatian tambahan (Baja Padi 3) kepada kira-kira 38,000 pesawah di Kawasan Muda.
MADA dalam kenyataan berkata, sebanyak 137,560 beg atau 22 peratus daripada keseluruhan keperluan 616,015 beg baja berkenaan sudah diterima MADA bagi diagih kepada pesawah setakat semalam
Tambahnya, baki 478,455 beg baja sebatian tambahan masih diperlukan bagi memenuhi keperluan pesawah membabitkan keluasan tanaman sekitar 78,117 hektar.
“MADA menyedari kepentingan bekalan baja yang mencukupi dan tepat pada masanya, khususnya dalam tempoh kritikal pertumbuhan tanaman padi.
“Sehubungan itu, MADA sentiasa memberi perhatian serius terhadap kelancaran rantaian bekalan input pertanian bagi memastikan aktiviti penanaman padi di Kawasan Muda tidak terjejas,” katanya.
Ujar agensi itu, proses pembekalan baja sebatian tambahan bagi Musim 1/2026 bermula pada 11 Jun lalu, namun berlaku ketidakcukupan bekalan pada tempoh tertentu yang menjejaskan kelancaran pengedaran kepada pesawah.
Pada 13 Ogos lalu, akhbar ini melaporkan masalah kelewatan pengagihan baja tambahan pada musim ini perlu diatasi segera kerana didakwa mengganggu jadual penanaman padi apabila sebahagian tanaman sudah berusia antara 70 hingga 80 hari.
Lebih membimbangkan, kelewatan itu didakwa turut menjejaskan pembentukan buah dan hasil padi, selain terdapat isu kualiti terhadap bekalan baja yang sudah diterima. – UTUSAN
The post MADA pergiat pembekalan baja sebatian tambahan appeared first on Utusan Malaysia.






