Pesawah gesa siasat isu kelewatan pembekalan baja

LocalPolitics
19 Aug 2026 • 6:31 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pesawah gesa siasat isu kelewatan pembekalan baja

KANGAR: Isu kelewatan pembekalan baja ketiga atau tambahan menjejaskan lebih 60,000 pesawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang berdepan risiko kemerosotan hasil sehingga 50 peratus.

Justeru, Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Suara Tani Malaysia akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kelewatan pembekalan selain isu kualiti baja tambahan tersebut yang mendapat rungutan kebanyakan pesawah.

Pengerusinya, Mohd. Shazwan Suban berkata, laporan akan dibuat dalam masa terdekat selepas usaha pihaknya memohon penjelasan berhubung kelewatan tersebut da­ripada pihak bertanggungjawab tidak mendapat maklum balas.

Beliau berkata, setakat ini, hanya sekitar 20 peratus atau 120,000 kampit baja tambahan sahaja yang diterima berban­ding jumlah keseluruhan 616,015 kampit yang sepatunya diedar di seluruh kawasan MADA merangkumi 27 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).

“Laporan itu bagi menuntut satu siasatan secara terperinci berhubung isu kelewatan pembekalan dan kualiti baja tambahan di kawasan MADA yang menjejaskan pesawah serta ke­terjaminan makanan negara.

“Antara lain, bagi mengenal pasti punca sebenar kelewatan pembekalan baja, jadual penghantaran dan jumlah sebenar bekalan yang ditetapkan selain adakah syarikat pembekal telah memenuhi semua terma serta syarat kontrak membabitkan pembekalan baja tersebut.

“Persoalan lain, adakah terdapat kelewatan, kegagalan penghantaran atau ketidakpatuhan terhadap spesifikasi yang ditetapkan selain berkaitan proses pemantauan dan pengesahan penerimaan bekalan yang dilaksanakan.

“Kita juga mahu tahu adakah sampel baja tambahan ber­kenaan telah menjalani ujian makmal bagi mengesahkan pematuhan terhadap spesifikasi kontrak ? Jika berlaku kegagalan pembekalan, apakah tindakan kontrak atau penalti yang telah dikenakan.

“Pesawah mahu tahu punca kelewatan tersebut termasuk berkaitan kualiti baja tambahan berkenaan. Kerajaan kena tegas dan kita mohon SPRM masuk campur dalam isu ini selain melakukan audit menyeluruh,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan keluhan para petani mengenai kelewatan pe­ngagihan baja ketiga atau tambahan yang akan menyebabkan mereka menanggung kerugian hasil pada musim ini.

Kata Mohd. Shazwan, baja sepatutnya diberikan sekitar umur tanaman 40 hari atau selewat-lewatnya sekitar 60 hari.

Katanya, kebanyakan kawasan kini sudah melebihi 70 hari umur tanaman iaitu me­lebihi tempoh sepatutnya mene­rima baja tersebut.

“Kelewatan itu akan menyebabkan hasil merosot se­kurang-kurangnya 50 peratus. Ia bukan sahaja beri kesan kepada pesawah malah kepada pengeluaran beras negara,” katanya. – UTUSAN

The post Pesawah gesa siasat isu kelewatan pembekalan baja appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved