MADCash peroleh pelaburan RM5 juta bantu usahawan mikro wanita
zulfadli
03/10/2023 - 12:15
KUALA LUMPUR 3 Okt - MADCash Sdn Bhd, syarikat pemula teknologi kewangan (fintech) berjaya memperoleh pelaburan bernilai RM5 juta daripada pelabur utama, Artem Ventures dan disokong oleh MSW Ventures dan ScaleUp Founders Fund.
Dana yang baru diperoleh ini akan digunakan untuk menambahbaik platform dalam taliannya melalui penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI), menampung perbelanjaan operasi dan pemasaran, dan meneroka peluang mengembangkan perniagaan di rantau Asia Tenggara.
MADCash, yang bermaksud 'Multiply', 'Assist', 'Donate', 'Cash', memberi dana dan membantu perkasakan usahawan wanita yang tidak mempunyai akaun bank dan yang kurang akses kepada perkhidmatan perbankan. Ia bertujuan untuk mewujudkan pemarkahan kredit alternatif untuk tingkatkan kebolehbankkan mereka di masa hadapan.
Pengarah Urusan MADCash, Nuraizah Shamsul Baharin berkata, pihaknya teruja kerana ada pelabur baharu di saat mereka sibuk melaksanakan banyak perkara dalam perancangan kerja termasuk melancarkan MADCash Academy tidak lama lagi.
"Dengan sokongan daripada Artem, MSW, dan ScaleUp, usaha kami kini mampu memberi impak yang lebih besar kepada masyarakat," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Prinsipal Artem Ventures, Tunku Omar Asraf berkata, dengan menawarkan rangkuman kewangan dan pembinaan kapasiti kepada kumpulan usahawan wanita ini, MADCash menjadi platform yang membantu usahawan yang kurang mendapat perkhidmatan untuk membina pemarkahan kredit dan mengasah kemahiran keusahawanan mereka.
"MADCash mengiktiraf kepentingan rangkuman kewangan untuk menutup jurang kemiskinan dan ketidaksamaan jantina, yang boleh membawa kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih baik di rantau Asia Tenggara," katanya.
Menjelang akhir tahun ini, MADCash dijangka menghulurkan sokongannya kepada lebih 800 wanita. Antara rakan kongsinya ialah Hong Leong Islamic Bank, dan PayNet.

Selaras dengan pertumbuhan ini, MADCash mengumumkan perlantikan Musyrifah Malek sebagai pengasas bersama.
Dengan latar belakang undang-undang yang luas, beliau akan memainkan peranan penting dalam memajukan dasar dan amalan tadbir urus korporat syarikat, untuk membantu memastikan kejayaan MADCash dalam industrinya. - DagangNews.com


