SHAH ALAM - Semua pihak diminta menghentikan sebarang spekulasi berkaitan dakwaan penglibatan seorang Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dikatakan menerima RM9.5 juta daripada ahli perniagaan, Victor Chin dan meletakkan kepercayaan kepada proses siasatan yang bebas serta berintegriti.
Penegasan itu dibuat Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Danish Hairudin susulan kebimbangan penyebaran naratif yang berubah-ubah sedangkan rakyat memerlukan ketelusan dan fakta yang sahih.
Beliau berkata, timbul persoalan mengenai konsistensi dan kredibiliti dalam isu tersebut apabila ada pihak tampil mempertahankan Victor sebagai 'kambing hitam' dalam skandal mafia korporat.
"Namun tidak lama kemudian, nada berubah seolah-olah tuduhan yang dilemparkan oleh individu yang sama pula diterima sebagai benar tanpa persoalan.
"Di sini timbul percanggahan logik yang jelas. Jika benar Victor adalah mangsa, mengapa wujud dakwaan bahawa beliau perlu memberi rasuah untuk menyelesaikan kes?
"Jika tidak bersalah, mengapa perlu ada unsur sebegitu? Ini menuntut penjelasan yang telus, bukan sekadar andaian," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.
Danish turut melahirkan kebimbangan terdapat kecenderungan untuk menerima dakwaan tanpa melalui proses pembuktian.
"Dalam mana-mana sistem yang berlandaskan undang-undang, beban pembuktian terletak kepada pihak yang menuduh.
"Tuduhan tanpa bukti yang disahkan tidak boleh dijadikan asas untuk membentuk persepsi awam," katanya lagi.
Selain itu, beliau turut menekankan aspek pertimbangan dan kewibawaan apabila seorang tokoh politik dilihat terlalu cepat mempercayai kenyataan daripada individu yang sedang disiasat.
"Ini memperlihatkan sikap prejudis dan mengelirukan rakyat.
"Kematangan kepimpinan menuntut sikap berhati-hati, bukan tergesa-gesa mengesahkan sesuatu yang belum terbukti," katanya.
