MAG Beli 10 Pesawat Boeing 787 Dreamliner, Dengan Pilihan Enam Pesawat Tambahan - Kapten Nasaruddin

LocalBusiness & Finance
25 Nov 2026 • 4:07 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

MAG Beli 10 Pesawat Boeing 787 Dreamliner, Dengan Pilihan Enam Pesawat Tambahan - Kapten Nasaruddin

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Malaysia Aviation Group (MAG) membeli 10 pesawat Boeing 787 Dreamliner secara terus daripada Boeing dengan pilihan enam buah pesawat tambahan, sebagai sebahagian daripada strategi pemodenan kumpulan pesawatnya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Kapten Nasaruddin A Bakar berkata Malaysia Airlines akan menjadi syarikat penerbangan pertama di Malaysia yang mengendalikan varian pesawat 787 Dreamliner itu.

Katanya pemilihan itu melalui proses penilaian yang menyeluruh dan pesawat 787 Dreamliner merupakan pilihan yang paling sesuai untuk syarikat penerbangan nasional.

“Ia menawarkan kapasiti, fleksibiliti dan kecekapan yang diperlukan untuk menyokong pertumbuhan jangka panjang kami.

“Lebih penting lagi, ia membolehkan kami untuk terus meningkatkan pengalaman yang ditawarkan kepada pelanggan selain memperkukuh daya saing kami dalam pasaran antarabangsa utama,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada majlis pertukaran dokumen pembelian pesawat badan lebar untuk penerbangan jarak jauh Malaysia Aviation Group di sini.

Kapten Nasaruddin berkata pembelian pesawat itu juga akan menyokong penggantian secara berperingkat tujuh buah pesawat Airbus A350 milik MAG, yang dijangka dihentikan penggunaannya antara 2032 dan 2035, sebagai sebahagian daripada program pemodenan pesawat kumpulan itu yang lebih menyeluruh.

Dikuasakan oleh enjin GEnx daripada GE Aerospace, pesawat itu dijadualkan untuk serahan antara 2032 dan 2035.

Turut hadir menyaksikan majlis pertukaran dokumen itu ialah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved