Malaysia Airlines beli 10 Boeing 787 Dreamliner, ganti tujuh Airbus A350 mulai 2032

LocalBusiness & Finance
25 Nov 2026 • 11:02 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Malaysia Airlines beli 10 Boeing 787 Dreamliner, ganti tujuh Airbus A350 mulai 2032 Image from: Malaysia Airlines beli 10 Boeing 787 Dreamliner, ganti tujuh Airbus A350 mulai 2032 sarah25/11/2026 - 11:02 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 25 Nov - Malaysia Aviation Group (MAG) mengumumkan pembelian 10 pesawat Boeing 787 Dreamliner dengan pilihan untuk memperoleh enam lagi pesawat bagi memperkukuh operasi penerbangan jarak jauh Malaysia Airlines serta menggantikan tujuh pesawat Airbus A350 sedia ada secara berperingkat.

 

Pesawat yang dibeli secara langsung daripada Boeing itu dijadualkan diterima antara 2032 hingga 2035, sekali gus menjadikan Malaysia Airlines syarikat penerbangan pertama di Malaysia yang mengoperasikan pesawat jenis berkenaan.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Kapten Nasaruddin A. Bakar berkata, Boeing 787 Dreamliner dipilih selepas melalui proses penilaian menyeluruh bagi memenuhi keperluan kapasiti, fleksibiliti operasi dan kecekapan yang diperlukan untuk menyokong pertumbuhan jangka panjang Malaysia Airlines.

 

“Bagi Malaysia Airlines, ini merupakan antara keputusan paling penting berkaitan armada pesawat yang akan kami buat dalam dekad ini,” katanya dalam ucapan pada majlis menandatangani perjanjian pembelian pesawat berkenaan di Kuala Lumpur hari ini.

 

Majlis itu turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah; Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir dan Presiden Boeing Global Asia Tenggara, Travis Sullivan.

 

Pemodenan pesawat pacu pertumbuhan jangka panjang

Nasaruddin berkata, pemodenan armada pesawat kekal sebagai teras utama transformasi MAG bagi memastikan kumpulan mempunyai keupayaan dan kecekapan yang diperlukan untuk menyokong pertumbuhan masa hadapan.

 

Beliau turut menekankan bahawa pemilihan pesawat hari ini akan memberi kesan kepada beberapa generasi juruterbang, jurutera, kru kabin serta jutaan penumpang di seluruh dunia dalam tempoh beberapa dekad akan datang.

 

“Setiap generasi pemimpin mempunyai tanggungjawab untuk meninggalkan Malaysia Airlines dalam keadaan yang lebih kukuh berbanding ketika mereka mula menerajuinya,” katanya.

 

Pesawat 319 tempat duduk untuk tujuh destinasi utama

MAG dalam kenyataan berasingan berkata, Boeing 787 Dreamliner itu akan dilengkapi 319 tempat duduk dengan konfigurasi tiga kelas, sekali gus menyokong strategi kumpulan menggunakan pesawat berkapasiti lebih besar bagi laluan penerbangan jarak jauh terpilih.

 

Antara destinasi yang dijangka menggunakan pesawat berkenaan ialah London, Paris, Sydney, Melbourne, Tokyo, Osaka dan Seoul, tertakluk kepada perancangan rangkaian penerbangan serta keperluan operasi pada masa hadapan.

 

Pesawat itu akan menggunakan enjin GEnx-1B keluaran GE Aerospace yang menawarkan kecekapan penggunaan bahan api, kebolehpercayaan dan prestasi lebih baik bagi operasi penerbangan jarak jauh MAG.

 

Secara berasingan, MAG turut memperbaharui perjanjian penggunaan perisian Fuel Insight dan FlightPulse daripada GE Aerospace bagi meningkatkan kecekapan operasi serta pengurusan bahan api.

 

Baki tempahan Boeing 737 diterima menjelang 2030

Dalam pada itu, Malaysia Airlines kini mengoperasikan lebih 37 pesawat Boeing 737 Next-Generation selain 19 pesawat Boeing 737-8.

 

Syarikat penerbangan nasional itu mempunyai keseluruhan buku tempahan sebanyak 55 pesawat Boeing 737, terdiri daripada 43 pesawat 737-8 dan 12 pesawat 737-10 menerusi pembelian langsung daripada Boeing serta perjanjian pajakan, dengan baki pesawat dijangka diterima menjelang 2030.

 

Nasaruddin turut menyifatkan pelaburan dalam Boeing 787 Dreamliner sebagai tanda keyakinan terhadap warga kerja MAG, termasuk juruterbang, jurutera dan kru kabin yang akan memainkan peranan penting dalam menyokong fasa pertumbuhan seterusnya Malaysia Airlines. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved