MAG Holdings dapat memanfaatkan peningkatan permintaan makanan laut di China – HLIB
diyana
13/06/2023 - 15:58
KUALA LUMPUR 13 Jun - MAG Holdings Berhad dijangka mendapat manfaat daripada permintaan yang semakin meningkat untuk makanan laut dari China, kata Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research.
Menurut firma penyelidikan itu, separuh daripada kapasiti tambahan pemprosesan tahunan di kilang pemprosesan kedua kumpulan itu akan dikhususkan untuk mengeluarkan produk udang.
Usaha ini dijangka mendapat manfaat daripada permintaan yang semakin meningkat untuk produk udang sedia dimakan (RTE) dan sedia dimasak (RTC) daripada pelanggan Korea Selatan dan China.
“MAG akan memperoleh margin keuntungan yang lebih tinggi dan juga memberikan kelebihan kepada pelanggan makanan dan minumannya dengan mengurangkan kos, mengekalkan kestabilan produk dan memastikan keselamatan makanan,” katanya dalam nota hari ini.
Firma itu berkata 30% jualan MAG berasal dari China justeru syarikat itu berada dalam kedudukan yang baik untuk memanfaatkan peningkatan permintaan untuk makanan laut di pasaran negara tersebut.
HLIB menjelaskan bahawa penggunaan makanan laut di China dikatakan meningkat, dengan penggunaan per kapita menunjukkan kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) yang konsisten sebanyak 2.5% dari 2005 hingga 2020, didorong oleh pertumbuhan penduduk, peningkatan tahap pendapatan, pembandaran dan perubahan gaya hidup.
Di samping itu, kumpulan itu sedang membina ladang keempat yang mempunyai 99 kolam dan kilang pemprosesan yang akan membantu merangsang pembiakan dan kapasiti pemprosesan, di mana ia dijadualkan mula beroperasi menjelang Ogos.
Firma itu berkata 80% daripada kapasiti pembiakan telah pun ditempah oleh restoran hotpot terbesar di China.
HLIB meningkatkan unjuran keuntungan bersih teras MAG bagi FY23, FY24 dan FY25 masing-masing sebanyak 151%, 31% dan 22% dengan andaian CAGR dalam FY22-25 kukuh pada 27%.
“Pertumbuhan ini dijangka dipacu oleh pengkomersilan ladang keempatnya dan peningkatan jualan daripada produk RTE dan RTC,” tambahnya.
Firma itu tidak membuat sebarang saranan terhadap saham MAG namun menilainya pada 27 sen sesaham, berdasarkan pendapatan sesaham (EPS) pertengahan FY24 dengan 14.5 kali sebanyak 1.85sen. -DagangNews.com

