Pembukaan semula China tidak rangsang permintaan aluminium, Kenanga Research turunkan unjuran pendapatan Press Metal bagi FY23-24
diyana
31/05/2023 - 12:58
KUALA LUMPUR 31 Mei - Jangkaan Kenanga Research meleset berikutan pembukaan semula China tidak meningkatkan permintaan untuk aluminium dengan ketara.
Menurut firma penyelidikan itu, keputusan suku pertama tahun kewangan 2023 (1QFY23) Press Metal Aluminium Holdings Berhad yang mengecewakan disebabkan purata harga jualan (ASP) lebih lemah daripada yang dijangkakan.
Keuntungan teras 1QFY23 sebanyak RM284.8 juta hanya merangkumi 16% daripada ramalan tahun penuh firma dan anggaran konsensus.
“Kami mengurangkan ramalan pendapatan tahun kewangan 2023 dan 2024 (FY23-24) masing-masing sebanyak 26% dan 19% selepas kami mengurangkan andaian harga aluminium kepada AS$2,350 hingga AS$2,450 setiap tan metrik daripada AS$2,550 hingga AS$2,600 setiap tan metrik sebelumnya, dan mengurangkan pendapatan bersekutu untuk FY23,” katanya dalam nota hari ini.
Firma itu turut menurunkan andaian harga aluminium jangka panjang sebanyak 4% kepada AS$2,200 setiap tan metrik daripada AS$2,300 setiap tan metrik (MT) sebelum ini.
Mengulas lanjut pasaran China, firma itu berkata pemulihan yang bermakna masih belum tiba walaupun kerajaan China telah memperkenalkan pelbagai langkah untuk menstabilkan pasaran hartanah, sementara pelancaran projek pembinaan dan infrastruktur di China tidak begitu kukuh seperti yang dijangkakan.
Bagaimanapun, penutupan kekal peleburan yang dikuasakan oleh bahan api fosil, terutamanya arang batu, ditambah dengan sekatan Barat ke atas Rusia akan memastikan bekalan aluminium global terkawal, justeru boleh memastikan harga aluminium stabil, jelas firma tersebut.
“Kami terus menyukai Press Metal kerana kelebihan kos struktur berbanding syarikat antarabangsa seumpamanya memandangkan akses kumpulan kepada tenaga hidro kos rendah yang diperolehi di bawah empat kontrak PPA jangka panjang berakhir antara 2023 dan 2040.
“Kumpulan itu juga mempunyai bekalan alumina yang terjamin kukuh dengan kepentingan dalam dua pelombong alumina, iaitu Japan Alumina Associate (40%) dan PT Bintan (25%) yang membekalkan 80% keperluannya, dan tarikan pelaburan hijau sebagai pengeluar sumber tenaga bersih,” tambahnya.
Kenanga Research mengekalkan saranan ‘outperform’ namun mengurangkan harga sasaran (TP) kepada RM5.74 daripada RM6.30 sebelumnya.
Saham Press Metal ditutup pada sesi dagangan tengahari sebanyak RM4.70 sesaham, susut 3 sen atau 0.6% dengan modal pasaran bernilai RM38.7 bilion. -DagangNews.com

