MAG perlu perkukuh daya saing industri penerbangan

LocalBusiness & Finance
25 Nov 2026 • 2:35 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

UiTM Holdings

KUALA LUMPUR: Malaysia Aviation Group (MAG) perlu terus memperkukuh daya saing dan menarik pelabur bagi memastikan kedudukannya kekal kukuh dalam industri penerbangan global.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, MAG dan Malaysia Airlines berpotensi menjadi pemain utama industri penerbangan sekiranya terus menunjukkan daya tahan dalam menghadapi ketidaktentuan global.

Beliau berkata, kerajaan menerusi Khazanah Nasional kekal komited dalam memastikan kejayaan kedua-dua entiti berkenaan memandangkan pertumbuhan mereka penting kepada industri penerbangan dan negara.

Menurutnya, cabaran kenaikan harga bahan api turut memberi tekanan kepada syarikat penerbangan, namun MAG perlu menanggung kos berkenaan mengikut harga komersial.

“Saya tidak perlu menyentuh mengenai kenaikan harga bahan api yang sememangnya menjadi kebimbangan kepada syarikat penerbangan dan negara secara keseluruhannya.

“Saya telah melaksanakan tanggungjawab saya dalam memastikan harga RON95 untuk rakyat Malaysia adalah antara yang terendah di dunia. Namun, saya tidak boleh berbuat demikian untuk syarikat penerbangan.

“Malaysia Aviation Group, Kapten Nasaruddin, anda perlu membayar harga komersial,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pertukaran Dokumen bagi pemerolehan pesawat itu di sini hari ini.

Anwar berkata, sekiranya MAG terus menunjukkan daya tahan, mengurus operasi secara cekap, menarik pelaburan dan memperkukuh industri, kumpulan itu berupaya mewujudkan peluang baharu untuk pertumbuhan.

Beliau berkata, kehadiran Boeing turut mencerminkan keyakinan syarikat itu terhadap MAG selain memperlihatkan kekukuhan kerjasama jangka panjang antara kedua-dua pihak.

“Dalam perbualan saya sebelum ini dengan Boeing, saya menegaskan bahawa kita sudah memberikan keyakinan dan kepercayaan, selain mahu memastikan hubungan kerjasama ini diteruskan.

“Peranan kita dalam ekosistem aeroangkasa global semakin berkembang. Perkembangan ini tentunya disokong oleh keupayaan tenaga kerja kita serta keyakinan rakan kongsi antarabangsa,” katanya.- UTUSAN

The post MAG perlu perkukuh daya saing industri penerbangan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved