KPJ peruntuk sehingga RM1.3 bilion setahun, perkukuh teknologi dan rawatan pakar menjelang 2030 - MBSB Research

LocalBusiness & Finance
25 Nov 2026 • 11:37 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

KPJ peruntuk sehingga RM1.3 bilion setahun, perkukuh teknologi dan rawatan pakar menjelang 2030 - MBSB Research Image from: KPJ peruntuk sehingga RM1.3 bilion setahun, perkukuh teknologi dan rawatan pakar menjelang 2030 - MBSB Research hamden25/11/2026 - 11:37 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 25 Nov - KPJ Healthcare Bhd terus memperkukuh kedudukannya sebagai penyedia perkhidmatan kesihatan swasta bersepadu menerusi pelaburan teknologi, pengembangan rawatan kepakaran dan pendigitalan rangkaian hospital, dengan perbelanjaan modal sehingga RM1.3 bilion setahun bagi menyokong pertumbuhan jangka panjang kumpulan.

 

MBSB Research berkata, langkah itu mencerminkan usaha KPJ beralih daripada model operasi rangkaian hospital konvensional kepada sistem penjagaan kesihatan lebih bersepadu, dengan penekanan terhadap rawatan berkompleksiti tinggi, inovasi klinikal dan peningkatan hasil rawatan pesakit.

 

Firma penyelidikan itu berkata, KPJ merancang meningkatkan kapasiti kepada lebih 4,000 katil operasi menjelang akhir 2026, sebelum berkembang kepada 5,000 katil pada 2028 dan 6,000 katil menjelang 2030.

 

"Pengembangan itu disokong perbelanjaan modal tahunan antara RM900 juta hingga RM1.3 bilion, meskipun kumpulan turut melaksanakan kerja pengubahsuaian yang menyebabkan penutupan sementara sebahagian katil hospital," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

kpj 02

 

Pembangunan 31 Pusat Penjagaan Ambulatori

MBSB Research berkata, satu daripada pemacu utama strategi pengembangan itu ialah pembangunan 31 Pusat Penjagaan Ambulatori (ACC) dalam tempoh lima tahun, dengan empat pusat pertama dijadualkan memulakan operasi pada awal 2027.

 

Setiap pusat mengambil masa antara sembilan hingga 12 bulan untuk dibina dan dijangka mula menjana hasil menjelang bulan ke-15 operasi.

 

ACC berkenaan akan menampung jumlah kes rawatan harian yang tinggi, sekali gus membolehkan hospital utama dan Pusat Kecemerlangan Klinikal (COE) memberi tumpuan kepada prosedur akut serta rawatan kepakaran yang mempunyai nilai lebih tinggi.

 

Dari sudut teknologi, KPJ turut mempergiat pelaburan dalam pendigitalan dan sistem teknologi maklumat (IT), dengan pelaksanaan berskala besar sepanjang enam hingga sembilan bulan lalu.

 

MBSB Research berkata, pelaburan awal itu menyebabkan sedikit penyusutan margin EBITDA pada suku ketiga tahun kewangan 2026 (3QFY26), manakala margin dijangka kekal mendatar sekitar 23% sehingga penghujung 2027.

 

Pada masa sama, kumpulan memperkukuh pendekatan penjagaan kesihatan berasaskan nilai menerusi pelaksanaan platform PROM-CONNECT di enam hospital perintis, dengan sasaran memperluas kesediaan pelaksanaan kepada 19 hospital menjelang akhir 2026.

 

Platform itu membolehkan pemantauan pemulihan dan kualiti hidup pesakit bagi menilai keberkesanan rawatan serta meningkatkan hasil klinikal.

 

KPJ 03

 

Lima projek perintis penjagaan berasaskan nilai

Bagi 2027, KPJ merancang melaksanakan lima projek perintis penjagaan berasaskan nilai di enam hospital, dengan sasaran khusus termasuk mengurangkan pembatalan pembedahan lewat sebanyak 30%, mencapai sekurang-kurangnya 90% pematuhan laluan rawatan katarak serta mengurangkan kos pembedahan harian rekonstruksi ligamen krusiat anterior (ACL) sekurang-kurangnya 15%.

 

Inisiatif lain termasuk memendekkan tempoh kemasukan pesakit kolorektal sebanyak dua hari dan mengurangkan kemasukan pesakit akibat kegagalan jantung sebanyak 10%.

 

Keupayaan rawatan kepakaran turut menjadi antara fokus utama kumpulan menerusi pengembangan COE, dengan beberapa pencapaian klinikal direkodkan sepanjang 9MFY26.

 

Di Johor Specialist, kemasukan pesakit bagi rawatan jantung dan paru-paru meningkat 22%, manakala Damansara 2 mencatatkan masa 23 minit dari ketibaan pesakit strok akut sehingga imbasan tomografi berkomputer (CT), dengan jumlah kes strok akut meningkat 72%.

 

Di Pulau Pinang pula, jumlah prosedur penggantian lutut meningkat 3.8 kali ganda, dengan 67% daripadanya menggunakan bantuan teknologi robotik.

 

KPJ turut merancang melancarkan COE Kanser di Johor pada Disember 2026, diikuti COE Ortopedik di Selangor pada suku pertama 2027 serta projek perintis Pusat Rujukan Radiologi pada Januari 2027.

 

Perkembangan itu selari dengan strategi KPJ Health System (KPJHS) yang mengintegrasikan amalan klinikal, pendidikan, penyelidikan dan inovasi dalam rangkaian hospital kumpulan.

 

kpj 04

 

Perkukuh keupayaan penyelidikan

Dalam perkembangan terkini, KPJ turut memperkukuh keupayaan penyelidikan menerusi kerjasama akademik dan klinikal, termasuk dengan SingHealth serta Royal College of Surgeons of England. Kumpulan juga sedang membangunkan program penyelidikan berasaskan penyakit dan teknologi kesihatan digital. 

 

Selain meningkatkan keupayaan rawatan domestik, KPJ turut mengembangkan segmen pelancongan perubatan yang mencatatkan pertumbuhan hasil sebanyak 18% tahun ke tahun kepada RM224 juta bagi 9MFY26.

 

Indonesia kekal sebagai pasaran utama, selain peningkatan jumlah pesakit dari Kemboja, Vietnam dan Singapura.

 

Pihak pengurusan turut menilai potensi pasaran baharu termasuk Pakistan, Sudan dan Mesir bagi mempelbagaikan sumber pesakit antarabangsa.

 

Kualiti perkhidmatan

Dari segi kualiti perkhidmatan, KPJ mencatatkan sifar insiden sentinel merentasi 29 hospital bagi 9MFY26, manakala kadar insiden klinikal berkurangan 13% tahun ke tahun kepada 1.0 bagi setiap 1,000 hari kemasukan pesakit dalam.

 

Pematuhan Penilaian Kualiti Klinikal (CQA) pula mencapai 92.2%, melepasi sasaran sekurang-kurangnya 90%.

 

Skor Promoter Bersih (NPS) kumpulan turut kekal pada paras 91 mata pada Oktober 2026, mencerminkan tahap pengalaman pesakit yang dikekalkan pada paras tinggi.

 

Sementara itu, MBSB Research mengekalkan unjuran pendapatan KPJ tanpa sebarang perubahan serta saranan BELI dengan harga sasaran RM3.70.

 

Firma penyelidikan itu berpandangan momentum operasi yang kukuh, pengembangan rangkaian strategik dan penjanaan aliran tunai berdaya tahan akan terus menyokong pertumbuhan kumpulan bagi baki FY26.

 

Keupayaan KPJ mengintegrasikan rangkaian hospital, memperluas rawatan kepakaran serta meningkatkan penggunaan teknologi dan penjagaan berasaskan hasil klinikal turut menjadi antara faktor yang menyokong prospek pertumbuhan jangka panjang kumpulan. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved