liza08/09/2026 - 12:16 Kerjasama berkenaan melibatkan pemasaran bersama, penglibatan dengan pemain industri serta inisiatif pengguna yang bertujuan meningkatkan hasil tambahan, membuka peluang perjalanan baharu dan mengukuhkan kedudukan Kuala Lumpur sebagai pintu masuk ke Asia dan destinasi lain Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 8 Sept – Malaysia Aviation Group (MAG) memperkukuh kerjasama strategiknya dengan persatuan industri pelancongan di Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand dan Filipina bagi meluaskan capaian kumpulan itu di pasaran utama serantau.
Kerjasama berkenaan melibatkan pemasaran bersama, penglibatan dengan pemain industri serta inisiatif pengguna yang bertujuan meningkatkan hasil tambahan, membuka peluang perjalanan baharu dan mengukuhkan kedudukan Kuala Lumpur sebagai pintu masuk ke Asia dan destinasi lain di luar rantau ini.
Menurut MAG, peluasan ke pasaran ASEAN kekal sebagai keutamaan, namun kejayaan kumpulan itu di rantau ini turut disokong oleh ekosistem domestik yang kukuh serta hubungan lama dengan rakan niaga dalam industri pelancongan.
Dengan memperkukuh kerjasama berkenaan, MAG mahu membina rangkaian pelancongan dan penerbangan yang lebih kukuh serta bersepadu, sekali gus memberikan manfaat bersama kepada Malaysia dan rakan industrinya.
Ketua Pegawai Komersial Perniagaan Syarikat Penerbangan MAG, Dersenish Aresandiran berkata masa depan sektor perjalanan banyak dipengaruhi oleh kerjasama kukuh dan visi serantau yang dikongsi bersama.
Kerjasama Dengan Industri Pelancongan ASEAN
Beliau berkata, penyatuan persatuan pelancongan utama dari seluruh ASEAN menerusi kerjasama berkenaan menunjukkan potensi besar yang boleh dicapai apabila negara-negara di rantau ini bekerjasama.
“MAG sedang memperkukuh hubungan penerbangan, meningkatkan permintaan perjalanan dan membuka peluang baharu, dengan Kuala Lumpur terus diposisikan sebagai pintu masuk ke Asia dan destinasi lain,” katanya dalam satu kenyataan.
Di Malaysia, MAG memperbaharui perjanjian kerjasama dengan Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) untuk tempoh tiga tahun lagi.
Melalui kerjasama itu, MAG akan terus menjadi Rakan Syarikat Penerbangan Rasmi serta Penaja Utama Pameran Pelancongan MATTA (MATTA Fair) di Kuala Lumpur dan semua edisi negeri di seluruh negara.
Kerjasama berterusan itu turut meningkatkan keterlihatan antarabangsa pameran berkenaan, selain mencerminkan sokongan MAG terhadap agensi pelancongan dan pengembaraan di Malaysia.
Perluas Pasaran Dan Tingkatkan Permintaan Perjalanan
Di Singapura, MAG dilantik sebagai Rakan Syarikat Penerbangan Pilihan oleh Persatuan Kebangsaan Ejen Pelancongan Singapura (NATAS) yang bertujuan meningkatkan jualan melalui agensi anggota NATAS, mempromosikan tawaran istimewa menerusi Pameran Pelancongan NATAS (NATAS Travel Fair) serta memberikan lebih banyak pilihan kepada pelancong dari Singapura yang melakukan perjalanan melalui rangkaian MAG.
Selain itu, di Indonesia pula, MAG menjadi Rakan Syarikat Penerbangan Pilihan kepada ASTINDO untuk tempoh setahun, bermula September 2026 hingga Ogos 2027.
Kerjasama itu akan meningkatkan hubungan dengan pelanggan menerusi Pameran Pelancongan ASTINDO (ASTINDO Travel Fair), manakala Firefly turut terlibat bagi mempromosikan produk penerbangan serantau dan destinasi terpilih di beberapa bandar di Indonesia.
Di Thailand, MAG menjalin kerjasama selama setahun dengan Persatuan Ejen Pelancongan Thailand (TTAA) dan akan menggunakan Pameran Pelancongan Antarabangsa Thailand (TITF) sebagai platform utama untuk mendekati pengguna.
Kuala Lumpur Sebagai Hab Penerbangan
Kerjasama dengan TTAA itu bertujuan merangsang permintaan perjalanan, mengukuhkan hubungan dengan rakan niaga industri serta mengetengahkan kemudahan perjalanan ke Malaysia dan destinasi lain melalui Kuala Lumpur.
Di Filipina, MAG akan memanfaatkan Travel Madness Expo menerusi kerjasama dengan Travel Innovators untuk mengukuhkan hubungan dengan ejen, mempromosikan destinasi serta menjana peluang baharu dalam sektor mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE), perjalanan korporat serta pertumbuhan jumlah penumpang.
Secara keseluruhan, kerjasama berkenaan membolehkan MAG meluaskan capaian di luar saluran jualannya sendiri dan mendekati ejen pelancongan, rakan industri serta pengguna yang memainkan peranan penting dalam membentuk permintaan perjalanan di rantau ini.
Sebagai syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines akan terus menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 dengan bekerjasama dengan rakan industri untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pilihan.
Usaha itu pada masa sama bertujuan mengukuhkan peranan Malaysia Airlines dalam menghubungkan pelancong dari seluruh Asia dan destinasi lain, sekali gus menyokong kedudukan Kuala Lumpur sebagai pintu masuk utama ke Asia dan destinasi di luar rantau tersebut. - DagangNews.com






