MAG peroleh pembiayaan RM306 juta daripada Citi tampung modal kerja dan operasi bekalan di Asia

Business & Finance
23 Oct 2026 • 11:30 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

MAG peroleh pembiayaan RM306 juta daripada Citi tampung modal kerja dan operasi bekalan di Asia Image from: MAG peroleh pembiayaan RM306 juta daripada Citi tampung modal kerja dan operasi bekalan di Asia amree23/10/2026 - 11:30 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 23 Okt – Malaysia Aviation Group (MAG) memperoleh kemudahan pembiayaan perdagangan berstruktur bernilai AS$75 juta (RM306.32 juta) daripada Citi bagi memenuhi keperluan modal kerja dan menyokong kelancaran operasi rantaian bekalannya di seluruh Asia.

 

Kemudahan itu penting dalam usaha membantu kumpulan penerbangan berkenaan menguruskan keperluan kewangan operasi serta pembayaran kepada pembekal strategik di tengah-tengah kerumitan transaksi rentas sempadan yang melibatkan pelbagai pasaran berbeza-beza.

 

Menerusi pembiayaan tersebut, MAG dapat menghubungkan pembekal strategiknya di Malaysia, Singapura dan China di bawah satu kerangka pembiayaan secara bersepadu, sekali gus bertujuan meningkatkan kecairan dan memperkemas urusan pembayaran antara negara.

 

"Langkah ini turut memberikan fleksibiliti kewangan lebih besar dalam menguruskan modal kerja, selain daya tahan rantaian bekalan ketika menyelaraskan keperluan operasi dengan pembekal yang tertakluk kepada peraturan dan sistem perbankan berlainan," katanya.

 

Dalam kenyataan, Citi berkata kemudahan berkenaan disesuaikan berdasarkan kepada tahap keperluan rantaian bekalan serantau MAG, dengan pelaksanaannya melibatkan penyelarasan aspek kawal selia, undang-undang dan operasi, termasuk kerjasama dengan pembekal strategik di China.

 

Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan MAG, Muhammad Najmi Mansor pula berkata kemudahan tersebut membolehkan syarikat berkenaan mempertingkat rumusan pembayaran rentas sempadan, di samping mengukuhkan hubungan dengan pembekal di beberapa pasaran.

 

MAG_DagangNews2026

 

Menurut beliau, kemudahan yang disediakan tersebut turut menyokong usaha MAG dalam memperkukuh tahap kerjasama dengan pelbagai vendor bagi memenuhi segala keperluan operasi kumpulan merentasi pasaran serantau.

 

Dalam pada itu, Pegawai Negara dan Ketua Perbankan Citi Malaysia, Vikram Singh berkata rumusan itu memanfaatkan rangkaian serantau Citi serta kerjasama pasukannya di Malaysia, Singapura dan China untuk menyediakan kemudahan pembiayaan perdagangan khusus bagi sektor penerbangan.

 

"Rumusan pembiayaan perdagangan yang inovatif dapat membantu syarikat menangani kerumitan operasi rentas sempadan sambil mengekalkan fleksibiliti kewangan," katanya. 

 

Bagi MAG, akses kemudahan pembiayaan ini menyediakan sokongan pengurusan kecairan dan pembayaran pembekal, sekali gus membantu menyelaraskan aliran kewangan dengan keperluan operasi. Citi dan MAG namun tidak memperincikan tempoh kemudahan, kadar pembiayaan atau pecahan penggunaannya.

 

Kemudahan itu mencerminkan usaha MAG memperkukuh pengurusan modal kerja dan rantaian bekalan serantau menerusi kerjasama pembiayaan dengan Citi, ketika kecekapan pembayaran serta kestabilan operasi kekal penting bagi menyokong kelangsungan perniagaan penerbangan kumpulan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved